______________________________________________________________________________

IKLANEKA RINGKAS@PKBC

BERITA BAIK UNTUK KAKI PANCING

Khidmat sewaan bot berenjin dan tanpa enjin
Di Sungai Belat Batu 3 Kuantan
Hubungi Tuan Haji Roslan (hj. Lan) 013-9454682.


KHIDMAT PENGIKLANAN RINGKAS DI RUANGAN INI
Untuk Maklumat Lanjut, Sila Hubungi Sdr. SUK Kawasan Kuantan.


Perlancaran Bulan Infaq Pas Pahang



______________________________________________________________________________

Friday, November 27, 2009

Salam Aidil Adha dari PKBC


Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Walillah hilhamd…

Sama-samalh kita menghayati erti pengorbanan yang sebenar dan mudah-mudahan segala pengorbanan kita diterima oleh Allah s.w.t

Selamat menyambut Aidil Adha...

Tuesday, November 24, 2009

Mahkamah tolak permohonan tangguh pilihan raya di Kota Siputeh

PUTRAJAYA, 23 Nov: Mahkamah Tinggi mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar mengadakan pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh, Kedah segera dan menolak permohonan SPR untuk ditangguhkan.

Ia perlu diadakan dalam tempoh 60 hari berkuat kuasa 16 November lalu, kata hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dalam keputusannya hari ini.

Bagaimanapun Jabatan Peguam Negara yang mewakili SPR mahu memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Seminggu sebelum itu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa SPR wajar mengadakan pilihan raya kecil di kerusi berkenaan selepas didapati wujud kekosongan.

Namun Jumaat, 20 November lalu, SPR memohon hakim itu agar menangguhkan keputusan tersebut.

SPR memfailkan permohonan itu pada Rabu, 18 November selepas Alizatul mengisytiharkan kerusi DUN itu kosong dan memutuskan bahawa Datuk Abu Hassan Sharif bukan lagi wakil rakyat kawasan berkenaan selepas gagal menghadiri persidangan DUN dua kali berturut-turut tanpa kebenaran.

Pada Sept 1, Speaker DUN Kedah memfailkan semakan kehakiman selepas SPR menerima sijil cuti sakit Abu Hassan berikutan ketidakhadirannya dalam persidangan DUN serta mengisytiharkan bahawa tidak berlaku kekosongan bagi kerusi itu dan wakil rakyat BN itu masih merupakan ADUN kawasan berkenaan.


sumber : harakahdaily.net

Friday, November 20, 2009

Konvoi Kebajikan Bermotor Dun Inderapura DPP Kuantan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Kuantan dan Jabatan Amal Kawasan telah mengadakan Konvoi Kebajikan Bermotosikal pada 14-15 Nov 2009 bagi menjelajah Dun Inderapura. Kira-kira 30 buah motorsikal dan 40 orang peserta menyertai aktiviti 2 hari 1 malam ini.

Program ini bermula dengan gotong royong di Masjid Al-Fattah kemudiannya menyampaikan bantuan ke Kg Batu 3, Kg Kurnia, Kg Belukar, Kg Razali, Kg Ubai, Kg Cheruk Paluh,Kg Sepat dan Kg Penur. Pada malamnya para peserta bermalam di Pusat Pendidikan Islam An-Nuur, Kg Kuala Penur.

Pada 15 Nov DPP Kawasan dan Jabatan Amal telah melawat Rumah Anak-Anak Yatim Permata Camar dan turut mengadakan gotong royong membersihkan kubur Kg Cempaka. Selepas itu rombongan menuju ke Taman Kempadang Permai untuk menyampaikan sumbangan kepada seorang remaja yang telah ditimpa musibah kemalangan di Kg Cempaka minggu lepas. Kemudian rombongan menuju ke surau Pasir Putih Peramu untuk makan tengahari dan majlis berakhir di situ.

Di bawah adalah gambar kenangan di sekitar program konvoi tersebut :

Peserta berhimpun di Masjid Al-Fattah sebelum bertolak menyampaikan sumbangan.

Peserta sedang bergotong royong di sekitar Masjid Al-Fattah, Batu 3 Kuantan.

Program XPDC kebajikan Amal ini telah dirasmikan oleh Sdr Razali Mohd Ramli (SUK Pas Kawasan Kuantan).

Menyampaikan sumbangan di Kampung Batu 3.

Menyampaikan sumbangan kepada warga emas di Kg Kurnia.

Mengelilingi kampung dan meredah lopak-lopak air menjejaki mereka yang tidak bernasib baik.


Ust. Fadhli mewakili DPP dan Jabatan Amal menyampaikan sumbangan.

Turut menziarahi aktivis-aktivis parti yang kini uzur di Kampung Belukar dan Kampung Razali.

Rombongan XPDC mula bergerak menuju ke Kampung Ubai selepas solat zohor di Masjid Penjara Penur.


Jamuan makan tengah hari dan gotong royong di markaz Pas Kg. Ubai.

Ust Sharuddin Mohd (Naib Ketua Pemuda Pas Kuantan) menyampaikan bantuankepada penduduk kampung Cheruk Paluh.



Pengarah program, merangkap Pengarah Jabatan Amal Kuantan Encik Nawi Abdullah mengetuai rombongan semasa menyampaikan bantuan di Kg Cheruk Paluh


Riadhah...meraikan anak-anak yatim dengan bermain futsal bersama mereka di Permata Camar. Rombongan makan pagi di Permata Camar sebelum bertolak ke tanah perkuburan Kampung Cempaka.

Peserta Konvoi dan pelajar Pondok An-Nuur sedang membersihkan kubur.

Raja SMS... walaupun keletihan, masih dapat melayan SMS.

Bergambar selepas membersihkan kubur Kampung Cempaka, jln Pantai Sepat yang terletak di lorong Cempaka 5.

Ketua DPP Kuantan, Ust. Fadhli Ibrahim menyampaikan hamper kepada mangsa kemalangan di Taman Kempadang Permai. Selepas itu rombongan berdoa beramai-ramai semoga Allah
menyembuhkan beliau dari musibah yang menimpanya
_________

admin : Tahniah kepada DPP Kuantan kerana berjaya menganjurkan program yang sangat bermanfaat. Teruskan berusaha menemui golongan sasar, demi merakyatkan PAS. Pas For All.

Monday, November 16, 2009

Kerusi DUN Kota Siputeh Kosong

Nov 16, 09 6:32pm

Kerusi DUN Kota Siputeh diisytiharkan kosong dan satu pilihan raya kecil seharusnya dipanggil untuk mengisi kekosongan tersebut.

Keputusan tersebut dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini setelah mendengar permohonan Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail untuk semakan kehakiman terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengekalkan Datuk Abu Hassan Sarif sebagai wakil rakyat di situ.


Abdul Isa memfailkan saman pada 1 Oktober lalu, menamakan Abu Hassan daripada BN dan SPR sebagai responden.

Beliau memohon diisytiharkan Abu Hassan bukan lagi ADUN bagi kerusi tersebut berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan DUN secara berturut-turut dan injunksi menghalang beliau daripada menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Beliau juga memohon mahkamah mengisytiharkan kerusi itu kosong dan memerintahkan SPR mengadakan pilihan raya kecil di samping memohon ganti rugi, kos dan faedah lain.

Pada 1 September lalu, SPR memutuskan tidak berlaku kekosongan di kerusi Kota Siputeh dan Abu Hassan masih menjadi wakil rakyatnya.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan bertindak bagi pihak SPR.

sumber : malaysiakini.com

admin : jentera Pas bersedia untuk merebut kerusi Dun Kota Siputeh, mudah-mudahan kemenangan nanti akan megembalikan majoriti asal Kerajaan PR Kedah, setelah seorang Adun PR melompat.

Sunday, November 15, 2009

Ihtifal Pasti Ar-Rahman Peramu

Pasti Ar-Rahman Kampung Peramu telah berjaya mengadakan ihtifalnya pada 15 Nov 2009 di Pusat Tarbiyah Islamiyyah Peramu (PUTIP).Ihtifal tersebut telah dirasmikan oleh Ust. Fadhli Ibrahim selaku Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Kuantan.









Tahniah diucapkan kepada para guru dan jamaah pengurus Pasti Ar-Rahman kerana telah berjaya menjayakan Ihtifal Tahunan mereka. Pasti Cemerlang, Islam Gemilang.

Thursday, November 12, 2009

Resolusi Seminar Memperkasakan PAS


Seminar Politik Memperkasakan Parti menyedari dan memahami bahawa:

1. PAS dan Pakatan telah melepasi ujian setahun setengah mengurus pemerintahan empat buah negeri dalam penggal parlimen ke-12 ini.

Baik-buruk, kejayaan-kegagalan negeri-negeri Pakatan ini telah mula mendapat perhatian umum. Pengiktirafan kejayaan telah pun diktiraf seperti Laporan Ketua Audit Negara 2008.

PAS dan Pakatan mutakhir ini terperangkap dalam kemelut-kemelut yang merosakkan imej dan tanggapan umum terhadap kredibiliti dan kesepaduan Muafakat Politik ini. Benar media BN jahat memainkan isu-isu ini, tetapi PAS/Pakatan wajar menginsafi bahawa punca-sumber laporan-laporan tidak wajar kita salahkan pihak lain sebab kita juga bertanggungjawab.

3. PAS dan Pakatan sangat-sangat berhajatkan untuk terus memperbaikki "Persepsi" rakyat dan pengundi bahawa Muafakat Politik Pakatan adalah mantap dan matang, bersedia memikul tugasan menjadi Pemerintahan di peringkat Persekutuan bagi membawa Negara ini ke garis prestasi yang lebih berdayasaing, makmur dan sejahtera. Keutuhan dan kemantapan ukhuwwah dalam saff yang menjadi asset dan anasir kekuatan utama dalam jamaah dan parti telah sedikit terjejas dalam pergolakan mutakhir ini.

Seminar Politik Memperkasa Parti dengan ini merakamkan bahawa:

1. Peri-pentingnya PAS menyerlahkan keupayaan satu kepimpinan parti yang bijak, kompeten dan matang dalam mengurus perbedaan dalam parti dalam semangat musyawwarah memlalui mekanisme parti secara berkesan.

2. Pimpinan tertinggi parti wajar melaksanakan tugasan utama pimpinan sebagai 'ta alluf al-quluub' yakni mempertautkan ahli-ahli dalam saff yang kukuh.

3. PAS wajar mengingatkan kepada kepimpinan negeri yang memerintah kerajaan negeri, ahli-ahli EXCOnya yang menganggotai kerajaan negeri-negeri Pakatan yang lain supaya senantiasa memelihara semangat muafakat politik Pakatan dengan tidak melakukan sesuatu yang boleh dipersepsi sebagai menjejaskan dan memudharatkan keutuhan kerajaan negeri.

4. PAS wajar segera mempertegaskan kepada semua peringkat keahlian dari kepimpinan tertinggi sehingga ke akar umbi bahawa telah dikunci (dengan ketat) segala pintu-pintu perbincangan dalam parti tentang agenda "Kerajaan Perpaduan".

Seminar Politik Memperkasakan Parti mengesyorkan pimpinan tertinggi parti untuk:

1. Terus memperkukuhkan Pakatan dan meningkatkan persiapan untuk mengahadapi PRU ke-13 dengan sentiasa proaktif dalam memudahkan Pakatan melaksanakan serta menguruskan urusan kerajaan-kerajaan Pakatan dengan penuh keikhlasaan serta semangat setiakawan yang tinggi.

2. Kepimpinan Kawasan yang memilikki penduduk-pengundi bukan-Islam yang ramai supaya bertindak dengan lebih agresif untuk mengaktifkan Kelab-kelab Penyokong PAS di kawasan masing-masing.

3. Memantapkan rumusan pendirian-pendirian parti berdasarkan maklumat dan penyelidikan (informasi), kemudian menurunkan dan menyalurkan kesemua ini dalam pengarahan yang jelas dan berkesan sehingga ke akar umbi keahlian parti di semua kawasan dan cawangan di seluruh negara.

4. Membuat pengarahan yang jelas kepada Dewan Pemuda dan Nisa’ dengan KPIsnya, supaya segmen pengundi muda yang sedikit terjejas terhadap PAS mutakhir ini, dikembalikan keyakinan dan sokongan mereka kepada PAS. Juga dipertegaskan pentingnya untuk memugarkan kegiatan Unit ‘Amal dengan mempraktikkan modul yang telah sedia ada.

5. Membuat satu "Pelan Tindakan" bagi menghadapi PRU ke-13, bagi memperkukuhkan sokongan yang sedia ada di kalangan orang Islam-Melayu dan memuatkan satu ‘Roadshow Nasional’ bagi menerangkan tema “Pas For All” atau PAS untuk Semua” bagi melebarkan tapak sokongan merentasi semua agama, kaum dan budaya.


Resolusi Seminar Politik Memperkasakan Parti
7 November 2009, 19 Zulkaedah 1430H
.

Thursday, October 29, 2009

Keputusan Mesyuarat Khas - Tiada EGM.

PAS adakan seminar ganti muktamar khas

Zulkifli Sulong
Thu Oct 29, 09 1:36:34 am MYT

KUALA LUMPUR, 29 Okt: PAS akan mengadakan satu seminar khas bagi membincangkan halatuju parti itu bagi menggantikann muktamar khas yang dicadangkan oleh Mursyidul Amnya.
Seminar yang bakal disertai oleh lebih 1000 perwakilan dari seluruh negara itu akan diadakan 7 Disember ini di Dewan Datuk Fadzil Noor, Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Kuala Lumpur.

Antara yang akan dijemput memberikan pandangan nanti adalah Profesor Dr Abdul Aziz Bari.

Demikian beritahu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya jam 1.00 pagi tadi.

Sidang media itu diadakan selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Pusat yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Selain itu, mesyuarat khas itu juga mengambil ketetapan agar Lembaga Disiplin PAS yang dipimpin oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyiasat semua dakwaan terhadap PAS Selangor.

Lembaga ini akan mencadangkan tindakan disiplin kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah melanggar disiplin parti.

Dalam sidang media itu juga, Abdul Hadi memaklumkan, isu Kerajaan Perpaduan ditutup sepenuhnya dan tidak akan berbangkit lagi.

Turut serta dalam sidang media selepas mesyuarat berjalan mulai jam 9.00 malam hingga 1.00 pagi itu adalah Naib Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahudin Ayub, Mahfuz Omar dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali serta Ketua Pemuda, Nasrudin Hassan Tantawi.


admin : antara keputusan mesyuarat yang diperseujui bersama :-

1] Perkukuhkan Pakatan Rakyat. Semua pimpinan dan ahli PAS diminta beriltizam untuk untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat. Satu seminar khas mengenai pengukuhan Pakatan rakyat akan dilangsungkan. Penulis merasakan seminar itu adalah seminar yang sama yang akan dijalankan pada bulan Disember nanti.

2] Satu lembaga displin dibentuk dengan diketuai oleh Naib Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man bagi menangani isu-isu displin yang sedang berlaku di Negari selangor.

3] Isu Unity Government atau Kerajaan Perpaduan sudah tidak berbangkit lagi. Tiada lagi kerajaan perpaduan selepas ini.



Tuesday, October 27, 2009

PAS Pahang desak selidik laporan seleweng petrol

Hashim Abdullah
Mon Oct 26, 09 6:38:04 pm MYT

TEMERLOH, 26 Okt: PAS Pahang memandang serius Laporan Ketua Audit Negara berkaitan keraguan penggunaan minyak petrol oleh kenderaan kerajaan negeri di bawah seliaan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam menjawab pertanyaan wartawan pada sidang media di pejabatnya semalam mahukan kerajaan Umno BN Pahang melakukan siasatan terbuka dan telus bagi mendedahkan penyelewengan yang berlaku.

"Kerajaan Pahang perlu mendedahkan penyelewengan dan membersihkan kerajaan dalam kenyataan yang mengaibkan oleh laporan tersebut," katanya.

Tuan Ibrahim yang juga Naib Presiden PAS menuntut kerajaan Pahang tidak melindungi sebarang penyelewengan dan salah laku mana-mana pihak dalam usaha menjaga harta rakyat.

"Kerajaan seharusnya tidak cuba melindungi sebarang penyelewengan dan salah laku mana-mana pihak bagi kebaikan dan penjagaaan harta rakyat. PAS mengesa agar pendakwaan dibuat sekiranya terdapat salah laku dan penyelewengan sebagaimana yang dilapor.

"Tindakan lima buah kenderaan rasmi sebagaimana yang didakwa mendedahkan kepada tanggapan umum bahawa pihak kerajaan melindungi pihak yang melakukan penyelewengan.

"PAS Pahang melihat teguran yang dibuat Ketua Audit Negara seolah-olah tidak diambil tindakan oleh kerajaan sebagaimana teguran-teguran sebelumnya.

"Akibatnya rakyat menanggung kerugian akibat daripada penyelewengan. Begitu juga dengan unsur penyelewengan pembinaan Hospital Pekan yang bernilai RM 81.59 juta memerlukan siasatan secara telus dan tindakan mesti diambil kepada pihak yang terlibat,"katanya. _

PAS panggil mesyuarat khas JK Rabu ini

Harakahdaily
Mon Oct 26, 09 12:16:46 pm MYT

KEMASKINI: KUALA LUMPUR, 26 Okt: PAS akan memanggil satu mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat Rabu ini bagi membincangkan cadangan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar diadakan satu mesyuarat agung luar biasa.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam sidang medianya berkata, mesyuarat itu akan diadakan jam 8.30 malam, Rabu ini di Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini.

"Mesyuarat insyaAllah akan diadakan pada 28 haribulan ini, hari Rabu malam," katanya.

Surat jemputan untuk mesyuarat ini akan dikeluarkan segera oleh beliau.

Mustafa berkata, beliau mendapat arahan dari Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang agar memanggil mesyuarat khas itu.

"Beliau (presiden) telah mengarahkan saya supaya mencari satu tarikh yang sesuai untuk mengadakan mesyuarat khas jawatankuasa pusat dalam waktu terdekat," katanya lagi.

Mesyuarat ini yang akan dihadiri oleh pimpinan pas pusat dan pesuruhjaya setiap negeri itu katanya, akan membuat keputusan tindakan yang akan dibuat selepas ini.

"Jadi apa-apa yang berkait kita akan bincang dalam mesyuarat pusat nanti," katanya.

Nik Aziz akan hadir sebagai pesuruhjaya Kelantan dan jemputan khas bagi membolehkan ahli mesyuarat mendengar sendiri penjelasan beliau berhubung cadangan dalam blognya agar diadakan satu muktamar agung khas.

Menjawab soalan pemberita mengenai cadangan mengadakan muktamar khas, beliau berkata mengikut perlembagaan PAS, mesyuarat agung luar biasa hanya boleh diadakan mengikut tiga cara.

Ia boleh dilakukan apabila ada arahan daripada presiden parti, ada permintaan bersurat satu pertiga daripada ahli jawatankuasa pusat, atau permintaan bertulis satu pertiga daripada PAS kawasan-kawasan.

Semalam, Naib Presiden, Salahuddin Ayub selepas mengadakan pertemuan dengan Nik Aziz di Kota Bharu memberitahu, mesyuarat agung luar biasa tidak akan diadakan kerana Nik Aziz sendiri mencadangkan ianya ditukar kepada mesyuarat khas.

Ditanya sama ada cadangan Nik Aziz itu berkait dengan beberapa pemimpin yang dikatakan pro kerajaan perpaduan, beliau berkata isu itu tidak lagi berbangkit kerana ianya telah diputuskan dalam muktamar Jun lalu.

"Saya pernah buat kenyataan dulu, masalah kerjasama dengan Umno sudah tutup buku. Ia satu keputusan yang dibuat oleh pimpinan dalam muktamar sendiri," katanya

Monday, October 26, 2009

Doa

"Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui bahawa hati-hati ini, telah berkumpul kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhi perintahMu, bersatu memikul beban dakwahMu. Hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulatkan syariat Mu. Maka eratkanlah Ya Allah akan ikantannya.

Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini akan jalanNya yang sebenar.
Penuhkanlah piala hati ini dengan cahaya RabbaniMu yang tidak kunjung malap. Lapangkalan hati-hati ini dengan limpahan iman / keyakinan
dan keindahan tawakkal kepadaMu. Hidup suburkan hati-hati ini dengan ma'rifat pengetahuan sebenar tentangMu....

Jika Engkau mentaqdirkan mati, maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agamaMu.

Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong.
Ya Allah perkenanlah permintaan ini."




Kenyataan Penuh TG Presiden

"Isu Dalaman Parti Islam SeMalaysia (PAS)"

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

PAS adalah merupakan sebuah organisasi siyasah, dakwah dan tarbiyah yang ditubuhkan sejak dari tahun 1951 dan pernah berhadapan dengan suasana yang lebih getir dalam lipatan sejarah perjuangannya.

Semuanya berjaya dihadapi dan terus menerus mematangkan organisasi parti sehinggalah PAS mencapai kedudukan yang ada pada masa kini.

Sehubungan dengan itu, saya meminta seluruh ahli dan kepimpinan PAS di pelbagai peringkat untuk bersabar dan bertenang dalam menghadapi persoalan dalaman parti pada waktu ini.

Persoalan yang timbul ini tidak akan dapat diselesaikan menerusi penggunaan media massa dan media baru.

Ianya perlu diselesaikan secara musyawarah dengan berpegang kepada budaya dan panduan yang menjadi pegangan PAS, sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaannya.

Saya juga sudah mengarahkan Datuk Setiausaha Agung PAS untuk menentukan tarikh yang sesuai di waktu terdekat ini untuk diadakan satu mesyuarat bagi membincangkan persoalan yang timbul ini.

Kita berdoa agar Allah SWT senantiasa memberikan taufik dan hidayah Nya kepada kita semua dalam usaha untuk merungkai permasalahan ini dan seterusnya memperkukuhkan parti.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)
6 Zulkaedah 1430 H bersamaan 25 Oktober 2009

Pandangan Dr. Abdul Aziz Dihargai - PJ

Ulasan Dr Aziz Bari berhubung kekalahan PAS di Bagan Pinang adalah sebahagian daripada komentar ahli akademik yang perlu diberi perhatian, sebagaimana kita memberi perhatian kepada pandangan lain yang berada di luar kotak politik. Oleh kerana bidang politik bukan milik ahli politik sahaja, maka semua pandangan boleh diberi; walaupun tentulah agak berbeza mereka yang berada dalam gelanggang dengan yang berada di luar gelanggang. Perbezaan tersebut merupakan lumrah penilaian. Saya menghormati pandangan beliau sebagai ahli akademik, yang melihat dari sudutnya yang tersendiri. Walaupun saya sendiri mempunyai pandangan yang berbeza kerana mungkin saya berada dalam gelanggang dan sebahagian dari kepimpinan parti.

Ada beberapa perkara yang mungkin tiada dalam maklumat beliau menyebabkan pandangan yang diberi agak bersifat kritis. Beliau mencadangkan agar parti mendisiplinkan Hassan Ali atau menyingkirkan terus, kemudian beliau menyatakan bahawa ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hassan dilihat mewakili golongan yang pro umno dalam PAS seperti Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Nasaruddin Mat Isa dan penyokong mereka. Saya ingin tegaskan ini pandangan beliau dalam posisinya sebagai ahli akademik. Tentulah banyak perkara dalaman yang dibincang dan dihalusi dalaman parti tiada dalam pengetahuannya.

Isu berlaku di Selangor bukan sahaja pertembungan untuk menarik sokongan, Bagi PAS isu utama bagaimana kita sebagai pemimpin yang akan bertanggungjawab terhadap rakyat dari dunia sampai akhirat. Kita memerlukan rakyat yang bermoral. Masyarakat menilai kita yang mewakili suara Islam dalam kerajaan. Apa tindakan kita untuk membina rakyat yang bermoral. Dr Hassan sebagai exco agama akan ditempelak tidak melakukan apa-apa bagi membela umat Islam, dalam isu arak. Tindakan beliau dengan dokongan Badan Perhubungan Negeri dan dibincang dalam exco kerajaan, bukan membuat peraturan baru, hanya sekadar melaksanakan enakmen yang sedia ada, yang tidak dikuatkuasakan selama ini.

Dalam keghairahan kita menjaga hati pengundi bukan Islam, jangan kita lupa bahawa pengundi Islam ingin melihat pembelaan kepada dasar Islam. Kita mengambil jalan tengah dengan tidak mengganggu golongan bukan Islam untuk mendapatkan minuman keras, cuma kita meminta agar penjualannya di kawasan majoriti umat Islam dihapuskan.

Mungkin Dr Aziz Bari melihat bahawa Dr Hassan Ali tidak perlu membuat kenyataan terbuka, sehingga dilihat wujudnya pertembungan antara PR. Saya ingn tegaskan bahawa isu ini telah dibincang dan beberapa kenyataan telah dikeluarkan dalam media berhubung perkara ini. Tetapi atas kedudukannya sebagai exco kerajaan yang menjaga agama dan Pesuruhjaya Negeri, saya fikir beliau juga mempunyai kekangan bila diajukan persoalan oleh pemberita, dan masyakakat juga ingin mendengar kenyataannya sebagai exco agama. Yang lebih adil ialah mendapatkan penjelasan sebenar terhadap kenyataannya, bukan hanya melalui media perdana yang tentunya lebih suka melihat pertembungan dalam PR, serta melihat juga pendirian Badan Perhubungan Negeri yang merupakan badan tertinggi parti di peringkat negeri.

Saya melihat kenyataan kontroversi bukan sahaja dari kalangan PAS, bahkan kenyataan serupa berlaku di Kedah oleh pimpinan DAP berhubung isu pusat penyembelihan, kouta perumahan, dan lainnya. Kita melihat perbezaan dalam PR adalah sikap keterbukaan kita, dan ternyata dalam beberapa pertemuan pimpinan PR, hubungan antara kita sangat kukuh, mesyuarat dwi bulanan PR merupakan medan penting bagi pengukuhan ini.

Walau bagaimanapun pandangan Dr Aziz Bari bahawa agak sukar untuk dilakukan kerana beliau ( Dr Hassan Ali) dilihat mewakili golongan yang pro Umno. Kenyataan ini tentunya agak keterlaluan, kerana Jawatankuasa Disiplin parti tidak sesekali terikat dengan apa yang disangka oleh beliau. Kita mempunyai rujukan peraturan dan tindakan. Jawatankuasa Disiplin sehingga kini menerima saranan daripada PR agar semua kepimpinan parti terikat dengan peraturan parti masing-masing, tetapi menegaskan agar tiada kenyataan yang boleh menimbulkan keretakan dalam Pakatan.

Sehingga kini Jawatankuasa Disiplin PAS tidak menerima apa-apa surat rasmi berhubung perkara tersebut. Namun perlu dinyatakan bahawa PR dalam mesyuarat lalu telah memanggil sama semua exco Selangor bagi mendengar permasalahannya, dan mesyuarat Harian Pusat juga telah mengundang Harian Selangor bagi mendengar permasalahan yang berlaku, dan telah membuat ingatan agar semua kenyataan yang boleh megeruhkan suasana dalam PR dielakkan, bahkan sebarang perkara yang mempunyai perbezaan pandangan dapat diselesaikan dalam mesyuarat exco dan parti masing-masing.

Jelas ianya tiada kena mengena dengan pro Umno atau sebaliknya. Kita telah gagaskan kenyataan bahawa kita perlu perkukuhkan PR. Ini gagasan bersama yang telah kita lakukan. Tetapi ianya bukanlah bermakna kita tidak boleh berbeza pandangan dalam berhadapan pelbagai isu yang berlaku. Bahkan saya ingatkan bersama bahawa sejarah perjuangan Islam dan sunnatulLah dalam jamaah Islam, sesiapa yang khianat dalam perjuangan ia akan gugur dari jamaah, samada Allah akan mendedahkan keburukan mereka atau jamaah akan menggugurkannya.

Antaranya beliau (Dr Aziz Bari ) memetik pandangan yang menyatakan Presiden tidak memberi respon terhadap apa yang berlaku di Selangor. Akibatnya pelbagai tuduhan yang menyamakan beliau dengan bekas presiden UMNO dan lainnya. Sedangkan realitinya beliau telahpun memberikan respon kepada apa yang berlaku, bahkan sebelumnya Timbalan Presiden telah membuat kenyataan akhbar tentang isu tersebut. Presiden berulang kali menyatakannya dalam pelbagai pertemuan parti, Cuma kita harus ingat bahawa media arus perdana tidak menyiarkan kenyataan beliau, sebagaimana mereka menyiarkan berita yang mengambarkan keretakan dalam PR. Namun Dr Aziz Bari ternyata tidak seronok dengan kenyataan dari Timbalan Presiden yang dilihat membela Hassan Ali. Dalam situasi yang ada apa jua kenyataan tentulah akan ada yang setuju dan sebaliknya. Yang tentunya kita tidak boleh minta agar semua kenyataan sesuai dengan kehendak kita.

Namun saya melihat pandangan beliau agak tersasar dari tajuk utama kerana apakah kerana kita tewas dalam satu PRK maka perubahan kepimpinan perlu dilakukan. Bagaimana dengan kemenagan sebelum ini, apakah ia tidak dilihat kejayaan kepimpinan yang ada? Mari kita kembali kepada peringatan Allah : “Boleh jadi apa yang kamu tidak suka, ianya baik bagi kamu, dan apa yang kamu suka ianya tidak baik bagi kamu, sesungguhnya Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahuinya”.

PAS : Keperluan Muktamar Khas Luarbiasa? - TGNA

Latarbelakang:

Jarang sekali hati saya menjadi tidak sedap sepanjang melibatkan diri dalam kepimpinan Islam. Hati saya pernah bergolak dizaman bekas Presiden PAS yang mahsyur iaitu di zaman Allahyarham Dato’ Haji Mohamad Asri. Di peringkat itu, saya terpaksa bersuara dan menunjukkan sikap saya yang ada sebahagiannya dirakamkan melalui buku saya yang berjodol “kemuncup dalam perjuangan.” Di waktu itu, saya masih ingat betapa sukarnya saya untuk memilih antara menegur atau mendiamkan diri. Namun, setelah teringat bahawa Nabi SAW juga pernah ditegur oleh Allah SWT, maka, saya memutuskan untuk berdiri dengan santun dan saya pun katalah jua apa yang munasabah untuk dikata. Saya memilih untuk mengambil sikap ini berasaskan adanya hujah nas yang memboleh, bahkan dalam keadaan-keadaan tertentu bersifat wajib untuk berbuat demikian. Sampai ke hari inipun saya masih berpegang dengan pendirian ini.


Untuk lebih terpimpin, mari kita terlebih dahulu perhatikan tiga petikan surah dan latar peristiwa disekitar tiga kisah ini. Ia ada dirakamkan didalam kitab suci al-Quran.


i). Dalam peristiwa Badar setelah perang berakhir yang memberi kemenangan kepada tentera Islam, terdapat sejumlah 70 tawanan perang. Apabila Nabi SAW membuka perbincangan, apa yang patut dibuat dengan tawanan-tawanan perang ini, Saidina Umar berpandangan, mereka semua perlu dibunuh manakala Sadina Abu Bakar pula berpendapat lebih baik mereka dibenarkan bebas setelah diambil wang tebusan.


Ditakdirkan Allah, keputusan yang ada dilangit adalah selaras dengan syur yang dikemukakan oleh Saidina Umar. Ia berbunyi:

“Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawiah sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untuk mu) dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari Allah, nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil.” (Surah Al-Anfaal Ayat 67 – 68)


Dari sini, jelas bahawa tidak ada sesuatu yang pelik dalam tradisi menegur pemimpin didalam Islam.

ii). Peristiwa kedua ialah sewaktu Nabi S.A.W. bersumpah tidak akan meminum sejenis madu dari bunga tertentu kerana menerima teguran dari salah seorang dari isteri baginda S.A.W. sewaktu berada di rumah salah seorang isterinya. Dalam peristiwa ini, sekali lagi Nabi S.A.W. di tegur dengan lafaz berbunyi:

“ Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagi mu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isteri mu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah At-Tahriim Ayat 1)

iii). Dalam surah ‘Abasa, sekali lagi kita dapat saksikan teguran Allah S.W.T. ke atas Nabi S.A.W. yang dilihat tidak memberikan layanan kepada seorang buta ketika Baginda didatangi oleh pemimpin Quraish yang turut berada di dalam majlis yang sama pada waktu itu. Teguran Allah S.W.T. berbunyi:

“ Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manafaat kepadanya. Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya.” (Surah ‘Abasa Ayat 1 – 6)

Apa isunya?

Isu yang ada di hadapan kita sekarang ialah isu kepimpinan. Biar saya mulakan begini. Saya boleh bersetuju dengan sebahagian dari tulisan Dr. Aziz Bari yang ada tersiar dalam akhbar Sinar Harian pada 19 Okt. 2009 di mukasurat N16. Antara lain, beliau mengemukakan teguran dan saranan seperti berikut :

“Dalam konteks sekarang Pakatan perlu dibenarkan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan supaya kita dapat membezakan kelainan mereka melaksanakan Perlembagaan.”

“Fungsi Dewan memantau kerajaan. Dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan kerajaan pada hakikatnya dimiliki Dewan.”

“Dengan itu mungkin sudah sampai masanya Pas membuat langkah drastik, sama ada mendisiplinkan Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali atau menyingkirkannya terus.”

“Bagaimanapun, ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hasan dilihat mewakili golongan yang pro-Umno dalam PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokong mereka.”

“Dalam kekecohan di Selangor Abdul Hadi membisu sehingga di dalam parti sudah ada yang berkata bahawa Abdul Hadi adalah watak bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam PAS. Sementara itu Nasharuddin membela tindakan Hasan itu secara terbuka.”

“Saya fikir ada beberapa tokoh tertentu dalam PAS yang boleh merubah keadaan. Beberapa bulan kebelakangan ini imej dan kemampuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak agak menonjol dan kelihatannya beliau mempunyai kemampuan untuk memimpin parti.”

“Saya tertarik dengan kelicikan Azizan menyiku Azman Shapawi, Naib Ketua Pemuda PAS dalam isu penjualan arak beberapa bulan lalu. Dalam pada itu organisasi PAS di Kedah dikatakan lebih baik daripada apa yang ada di Terengganu.”

“Buat masa ini, hanya 32 peratus pengundi yang yakin dengan kemampuan Pakatan. Jika PAS kekal dengan kapten yang ada ini (sokongan) mungkin akan berkurangan.”


Pandangan Saya
Atas pandangan inilah saya berfikir dan terus berfikir. Setelah berfikir sambil berdoa, maka saya berpuashati untuk mengatakan begini :
Kalau Umno boleh buat sesuatu dengan mengadakan Mesyuarat Agong Khas dan MCA pun boleh mengadakan EGMnya sehingga sempat menggugurkan Presiden dan Timbalan Presidennya. Demikian juga dengan PKR yang telah membuat pindaan Perlembagaannya melalui Kongres Khas mereka. Maka kita?

Walaupun isu MCA benda lain, iaitu rasuah, kita lagilah tidak payah khuatir untuk adakan Muktamar Khas kerana kita bukan membawa isu rasuah . Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah. Masyarakat India pun boleh menentang Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain. Maka pelik apa, kita panggil mesyuarat parti yang tergempar misalnya; mungkin dipanggil muktamar khaslah. Kalau nak kirakan, kitalah yang sepatut buat dulu. Demi “tajdid” kita perlu buat Mesyuarat Agong Luarbiasa ini. Bila Mesyuarat Agong tak mahu tukar Presiden, misalnya maka tidak mengapalah. Kita pakat-pakat belalah. Begitu juga dengan isu-isu disekitar Hassan Ali atau Mustafa Ali yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan Perpaduan atau UG. Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan. Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ni?

Tidak boleh jadi ni, kita duk “ghok-ghak” (kacau) begini. Orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khaslah; senang cerita. Biar tentu sah, nak ikut yang mana. Kita nak kekal yang mana dan buang yang mana. Dengan Muktamar Khas yang boleh menjelaskan dan memutuskan banyak perkara ini, puak-puak atas pagar yang membuat swing votes dan mempengaruhi keputusan pilihanraya juga akan berpuas hati samada nak swing atau tak nak swing lagi kerana mereka sudah dijelaskan oleh keputusan Muktamar Khas berkenaan. Mereka jelas.

Biarlah kita ambil mandat baru sekali lagi. Mesyuarat biar ringkas;ambil sehari penuh atau dua hari penuh misalnya tetapi prosesnya mesti ringkas, dan keputusannya adil, telus, tepat, terus dan jelas. Undi perlulah sulit dan dilakukan di atas kertas .
Untuk kali ini, saya dengan kuat merasakan bahawa perlu ada perubahan dalam pemain-pemain penting yang menduduki kerusi kepimpinan PAS diperingkat pusat. Kalau nak kata ini persiapan ke arah PRU ke 13 pun, kata gi lah. Dan memang betul begitulah.


Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS/Menteri Besar Kelantan
Bertarikh : 02 Zulkaedah 1430 / 21 Okt. 2009


sumber : blogtokguru.com

Friday, October 16, 2009

Sambutan Hari Raya & Rumah Terbuka Pas Kawasan Kuantan.



YDP dan AJK Pas Kawasan Kuantan, dengan berbesar hati
menjemput semua masyarakat di sekitar Kuantan,
tidak mengira bangsa dan agama
untuk hadir ke


Majlis Jamuan Hari Raya & Rumah Terbuka
Pas Kawasan Kuantan
serta meraikan para petugas Pilihanraya PRK Bagan Pinang
pada 18 oktober (ahad)
jam 11.00 pagi - 2.00 petang
bertempat di Markaz Pas Kuantan Taman Guru
Batu 5 Jalan Gambang.


Semua di alu-alukan untuk hadir memeriahkan lagi majlis ini.

Pahang diminta segera bayar saman, elak bebankan rakyat

Hazayani Zakaria
Fri Oct 16, 09 2:06:13 pm MYT


KUALA LUMPUR, 16 Okt: Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man meminta kerajaan Pahang membayar segera saman berjumlah RM65 juta kepada syarikat pembalakan Seruan Gemilang Makmur (SGM) bagi mengelakkan wang rakyat terus dikorbankan.

Beliau berkata, sikap kerajaan yang melengah-lengahkan bayaran saman tersebut sejak sekian lama akan mendatangkan lebih banyak masalah kerana faedah sebanyak RM8, 000 sehari terus berjalan seperti yang diputuskan mahkamah.

"Saya harap kerajaan negeri menyelesaikan kes ini dengan menjelaskan hutang yang tertangguh kerana jika kerajaan lambat memjelaskannya, kadar interest (faedah) sebanyak RM8, 000 terus berjalan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Mahkamah Rayuan Putrajaya minggu lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 2007 yang mengarahkan kerajaan negeri membayar saman kepada SGM kerana melanggar perjanjian pemberian konsesi pembalakan di kawasan seluas 4,000 hektar di Mukim Bebar, Pekan.

Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 mengeluarkan satu perintah kepada kerajaan negeri supaya membayar ganti rugi berjumlah RM37, 127, 471.60 kepada SGM dengan kadar faedah 8 peratus setahun mulai Disember 2000 (jumlah keseluruhan RM60juta).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob bagaimanapun memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi bagi menangguhkan keputusan mahkamah itu namun gagal dalam rayuannya.

Sehingga 7 April 2008, pihak defendan (Adnan dan kerajaan negeri) gagal membuat sebarang bayaran ataupun menghubungi SGM menyebabkan kedua-duanya dianggap melanggar dan menghina keputusan mahkamah.

Seterusnya pada 20 April 2008 Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah mandamus (perintah akur bayar) terhadap Adnan dan kerajaan negeri bagi melunaskan bayaran RM63 juta kepada SGM dalam tempoh 14 hari mulai dari tarikh itu.

Adnan sekali lagi memohon mengenepikan kes melalui Mahkamah Rayuan dan beliau dilepaskan dari membayar hutang tersebut.

Hutang sebenar kerajaan negeri sekarang sudah menghampiri RM65juta kerana faedah sebanyak RM8, 000 sehari terus berjalan.

Menurut Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, meskipun mahkamah rayuan melepaskan Adnan daripada membayar hutang tersebut, namun kerajaan negeri tetap terpaksa membayarnya.

Ujarnya, keputusan mahkamah itu juga hanya untuk membersihkan nama Adnan sedangkan kerajaan negeri terus terbeban dengan hutang yang semakin meningkat sekaligus menyebabkan rakyat turut merasai tempiasnya.

"Keputusan mahkamah itu bersifat teknikal sahaja untuk membersihkan nama Adnan sedangkan kerajaan negeri tetap mengagung hutang," katanya.

Beliau juga mendakwa, akibat penyelewengan dan rasuah yang dilakukan kerajaan Umno BN menyebabkan wang rakyat terpaksa digunakan untuk menyelesaikan bebanan hutang.

"Disebabkan penyelewengan dan salahguna kuasa kerajaan negeri, rakyat yang terpaksa menanggung kerugian. Ini tak sepatutnya berlaku," tegasnya._

BAGAN PINANG: Kenyataan Media Presiden PAS

Presiden PAS
Wed Oct 14, 09 11:02:44 am MYT


Keputusan Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang telah sama-sama kita ketahui, di mana Barisan Nasisonal (BN) telah mengekalkan kemenangan yang telah diperolehi oleh mereka menerusi Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu.

Serentak dengan itu, pelbagai pihak telah memberikan analisa, ulasan, komen dan cadangan masing-masing terhadap keputusan pilihanraya kecil tersebut.

Apa yang pasti ialah Parti Islam SeMalaysia (PAS) akan melakukan post-mortem bagi meneliti pelbagai aspek 'politik tempatan dan nasional' untuk menentukan punca sebenar kegagalan PAS memenangi kerusi DUN Bagan Pinang dari tangan BN.

Kepimpinan parti tentunya akan mengambil langkah strategik yang bersesuaian tanpa mengorbankan prinsip perjuangan parti dalam melaksanakan penambahbaikan.

Sementara itu saya meminta semua ahli di pelbagai peringkat dalam PAS supaya tidak menuding jari dan menyalahkan sesiapa sebelum punca sebenar ini dapat dikenalpasti.

Dalam suasana keriuhan kegagalan kita memenangi kerusi DUN Bagan Pinang ini, semua ahli PAS diminta bertenang dan tidak keliru dengan status-quo kemenangan BN yang dirayakan oleh mereka.

PAS menyedari bahawa semua pihak menaruh harapan yang tinggi untuk mengambil kerusi DUN Bagan Pinang dari milikan BN.

Hakikatnya ialah kita menyertai pilihanraya ini dengan penuh maklumat bahawa ianya merupakan satu tugas yang mencabar dan penuh dengan insiden provokasi oleh pihak lawan.

Walauapapun, PAS ingin menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pengundi yang masih memilih PAS, para petugas parti yang datang dari segenap pelusuk tanahair dan berkampung di DUN Bagan Pinang, orang perseorangan dari pelbagai rumpun bangsa yang datang memberikan tenaga dan sokongan serta semua pihak yang telah berusaha bersama-sama dengan jentera parti dalam berhadapan dengan pilihanraya kecil ini.


Presiden PAS


Tuan Guru Presiden sedang berada di Syria dan beliau menghubungi Dr Ahmad Samsuri selaku Setiausaha Politik Presiden PAS untuk kenyataan media ini _

sumber : harakahdaily.net


BAGAN PINANG: Kenyataan Media Presiden PAS

Presiden PAS
Wed Oct 14, 09 11:02:44 am MYT

Keputusan Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang telah sama-sama kita ketahui, di mana Barisan Nasisonal (BN) telah mengekalkan kemenangan yang telah diperolehi oleh mereka menerusi Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu.

Serentak dengan itu, pelbagai pihak telah memberikan analisa, ulasan, komen dan cadangan masing-masing terhadap keputusan pilihanraya kecil tersebut.

Apa yang pasti ialah Parti Islam SeMalaysia (PAS) akan melakukan post-mortem bagi meneliti pelbagai aspek 'politik tempatan dan nasional' untuk menentukan punca sebenar kegagalan PAS memenangi kerusi DUN Bagan Pinang dari tangan BN.

Kepimpinan parti tentunya akan mengambil langkah strategik yang bersesuaian tanpa mengorbankan prinsip perjuangan parti dalam melaksanakan penambahbaikan.

Sementara itu saya meminta semua ahli di pelbagai peringkat dalam PAS supaya tidak menuding jari dan menyalahkan sesiapa sebelum punca sebenar ini dapat dikenalpasti.

Dalam suasana keriuhan kegagalan kita memenangi kerusi DUN Bagan Pinang ini, semua ahli PAS diminta bertenang dan tidak keliru dengan status-quo kemenangan BN yang dirayakan oleh mereka.

PAS menyedari bahawa semua pihak menaruh harapan yang tinggi untuk mengambil kerusi DUN Bagan Pinang dari milikan BN.

Hakikatnya ialah kita menyertai pilihanraya ini dengan penuh maklumat bahawa ianya merupakan satu tugas yang mencabar dan penuh dengan insiden provokasi oleh pihak lawan.

Walauapapun, PAS ingin menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pengundi yang masih memilih PAS, para petugas parti yang datang dari segenap pelusuk tanahair dan berkampung di DUN Bagan Pinang, orang perseorangan dari pelbagai rumpun bangsa yang datang memberikan tenaga dan sokongan serta semua pihak yang telah berusaha bersama-sama dengan jentera parti dalam berhadapan dengan pilihanraya kecil ini.


Presiden PAS


Tuan Guru Presiden sedang berada di Syria dan beliau menghubungi Dr Ahmad Samsuri selaku Setiausaha Politik Presiden PAS untuk kenyataan media ini _

sumber : harakahdaily.net


Wednesday, September 30, 2009

Bagan Pinang - Zulkefly vs. Isa Samad.

TELUK KEMANG, 29 Sept : Pakatan Rakyat mengumumkan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Bin Omar, 45, sebagai calon mewakili PAS bagi Pilihan Raya Kecil N31 Bagan Pinang.

Pengumuman dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, pada majlis pengumuman calon julung kalinya diadakan di Pusat Gerakan Induk DAP di Batu 9 Teluk Kemang sebentar tadi.

Zulkefly bakal berdepan calon Barisan Nasional dari Umno, Tan Sri Isa Samad yang diumum Umno petang tadi.

Dengan pengumuman itu, Isa yang terpalit dengan beberapa kes rasuah dan salah guna kuasa dilihat berdepan laluan sukar menentang Zulkefly yang dilihat serba serbi bersih rekodnya.

Presiden PAS, dalam pada itu menyifatkan pemilihan Zulkefly adalah calon yang tepat mewakili rakyat Malaysia, rakyat Negeri Sembilan malah lebih penting calon terbaik Pakatan Rakyat.












Admin : bila calon bermaruah bertemu calon perasuah.... terpulanglah kepada rakyat untuk menilai dan memilih.

Sunday, September 20, 2009

Perutusan Hari Raya TG Presiden

Presiden PAS
Thu Sep 17, 09 10:09:06 am MYT

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Ramadhan al-Mubarak telah pergi meninggalkan kita, setelah kita berpuasa sebulan dalam bulan yang diberkati ini. Moga-moga Ramadhan yang baru sahaja berlalu itu telah mendidik diri kita menjadi orang yang bertaqwa sebagaimana natijah serta hikmat puasa itu sendiri.

Tanda orang bertaqwa pula ialah kita menjadikan al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. sebagai panduan yang hakiki dalam kita melayari bahtera kehidupan yang penuh dengan cabaran ini. Ia merangkumi pelbagai cabang kehidupan kita: bukan setakat makan-minum-pakaian yang halal semata-mata, tetapi juga cara untuk menguruskan rumahtangga, berhubung sesama manusia sebagai rumpun jiran tetangga dalam sebuah masyarakat, bahkan hinggalah kepada cara bernegara.

Bersempena dengan kedatangan bulan Syawal ini, marilah sama-sama kita membuktikan tarbiyah Ramadhan dengan kita terus istiqamah kepada panduan al-Quran dan Sunnah, marilah kita menguatkan persaudaraan di kalangan umat Islam, bermaafan dan berkasih sayang di antara satu sama lain, kunjung mengunjung dengan penuh tawaduk dan berpandukan kepada akhlak Islam yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Dengan buah taqwa ini jugalah ianya mengajar kita untuk menyelesaikan semua masalah dan perkara yang menjadi perbalahan di kalangan umat Islam khususnya dalam perkara politik yang menentukan dasar dan halatuju negara dengan panduan al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan Eid Mubarak kepada seluruh ahli dan penyokong serta saf kepimpinan Parti Islam SeMalaysia (PAS), dan juga seluruh rakyat beragama Islam di dalam negara kita ini tanpa mengira fahaman politik mereka. Marilah kita sama-sama bermaaf-maafan dan menjadikan Syawal ini sebagai titik tolak kepada keyakinan kita bahawa al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. adalah panduan kita yang hakiki dalam kehidupan kita ini.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.


Ikhlas,

Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS

sumber : harakahdaily.net


Monday, September 14, 2009

PRK Dun Bagan Pinang.

Info pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang:

Tarikh penamaan calon: 3 Oktober 2009 (Sabtu)

Tarikh pengundian: 11 Oktober 2009 (Ahad)

Pusat penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi: Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson.

Tempat proses pengeluaran dan pengiraan undi: Bilik mesyuarat pejabat daerah Port Dickson.

Tarikh daftar pemilih dikemas kini: 4 September 2009

Jumlah pemilih berdaftar: 13,664 orang

Jumlah pemilih biasa: 9060 orang

Jumlah pemilih pos: 4604 orang

Jumlah pusat mengundi: 8 pusat melibatkan 8 sekolah

Jumlah saluran mengundi: 18 saluran

Pegawai Pengurus: Abdul Wahab Shamsuddin - Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson

Jumlah petugas SPR: 275 orang

sumber : mStar

BN mungkin akan ditolak seperti LDP - Dr M

Abdul Aziz Mustafa
Sat Sep 12, 09 9:14:13 am MYT

KUALA LUMPUR, 12 Sept: Umno dan Barisan Nasional (BN) mungkin akan mengalami nasib yang sama seperti Parti Liberal Demokratik (LDP) Jepun yang ditolak rakyat negara itu, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Adakah pilihan raya yang akan datang akan menyaksikan fenomena yang sama seperti di Jepun? Ia tidak mustahil sama sekali," kata bekas Presiden Umno dan Pengerusi BN itu.

Para pengundi muda, katanya, dikatakan kecewa dengan "parti yang mendapatkan kemerdekaan" kerana perkara itu telah menjadi sejarah dan tidak begitu bermakna kepada mereka.

Menurut beliau, di beberapa negara lain, parti-parti yang "berjuang dan mencapai kemerdekaan" telah hilang lenyap seolah-olah rakyat tidak tahu berterima kasih dan tidak peduli "pejuangan dan pengorbanan" parti-parti tersebut dan para pemimpinnya.

"Adakah mereka tidak tahu berterima kasih? Ada kebenarannya tetapi jika kita mahu mengkaji, kita akan dapati sikap para pejuang kemerdekaan itu dan mereka yang mengggantikan para pejuang tersebut telah berubah hampir sepenuhnya," kata beliau dalam blognya.

Mereka, kata Dr Mahathir, menjadi tamak dan angkuh serta tidak lagi mempedulikan negara dan rakyat.

Walaupun menyatakan bahawa para pengundi Melayu begitu setia kepada BN, tetapi Dr Mahathir mengingatkan wujudnya bukti di dalam pilihan raya umum tahun lalu bahawa para pengundi setia itu telah memberikan undi kepada pembangkang.

Menyentuh keadaan Umno kini, Dr Mahathir berkata, gejala yang melanda parti itu tidak boleh dinafikan lagi.

"Rasuah menjadi-jadi di dalam Umno dan parti-parti komponen (BN) yang lain. Perebutan kuasa telah melemahkan mereka. Para pemimpin begitu ghairah untuk terus berkuasa walaupun tidak lagi mampu berperanan.

"Dengan para pemimpin sedemikian, negara dan rakyat diabaikan. Pada dekad yang lepas, walaupun berdegar-degar dengan cakap-cakap bahawa berbilion ringgit diperuntukkan kepada koridor dan sebagainya, tidak ada bukti yang ketara dan boleh dilihat.

"Tidak ada apa-apa pun yang boleh ditunjukkan walaupun Petronas membayar RM250 bilion lebihan kepada kerajaan," katanya.

Adalah menghairankan, kata Dr Mahathir, apabila didapati Malaysia ketinggalan di belakang jiran-jirannya.

Negara ini, kata beliau, "bukan lagi negara yang terkehadapan di rantau ini. Tentunya tidak lagi boleh disifatkan sebagai negara contoh".

Beliau berpendapat, BN hanya boleh diselamatkan oleh prestasi lemah pembangkang.

"Tetapi, jika prestasi kerajaan BN dan parti-parti di dalamnya gagal meyakinkan, pera pengundi yang kecewa mungkin akan melakukan apa yang telah dilakukan para pengundi Jepun - menyingkirkan parti yang mereka sokong sejak lebih dari separuh abad," kata Dr Mahathir.

Tsunami revolusi pilihan raya di Jepun 30 Ogos lalu menyaksikan kemenangan Parti Demokratik Jepun (DPJ) menyingkirkan pemerintahan Parti Liberal Demokratik (LDP) di negara itu sejak Perang Dunia Kedua.

Kehancuran kuasa LDP itu menyaksikan DPJ memenangi 308 dari 480 kerusi parlimen negara itu
sumber : harakhdaily.net

admin : Insyaalah...

Monday, September 7, 2009

Belangsukawa - Ust. Bahrin Mohamad Dalam Kenangan.

Al-Fatihah buat Allahyarham Ust. Bahrin Mohamad, Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Kuantan. Beliau telah kembali kerahmatullah menyambut seruan Ilahi jam 11 malam, pada 16 Ramadhan 1430 bersamaan 6 September 2009. Dari sumber Pas Cawangan Peramu, almarhum pengsan ketika sedang berusrah bagi membincangkan Program Sumbangan Fakir Miskin dan Anak Yatim Pas Kawasan Kuantan, yang dijadualkan pada 12 September 2009 bertempat di Pusat Tarbiyah Islamiyah Peramu (Putip) dimana Pas Cawangan Peramu menjadi tuan rumah. Almarhum disahkan meninggal di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan kerana mengalami serangan jantung.

Almarhum berusia 52 tahun, meninggalkan seorang balu dan 8 orang anak.

Almarhum dikenali sebagai seorang pemimpin yang berkarisma, tegas dan strategis. Seorang yang istiqamah dengan perjuangan Islam sepanjang hidupnya. Almarhum pernah mewakili Pas dalam pilihanraya umum bagi kerusi DUN Jenderak, pilihanraya umum ke 9 bagi kerusi DUN Penor (1995) dan pilihanraya umum ke 11 bagi kerusi Dun Tanjung Lumpur (2004). Pernah mengetuai Dewan Pemuda Pas Pahang pada era 80an, kemudiannya dilantik sebagai Setiausaha Perhubungan Negeri Pahang, serta pernah menjadi YDP Kawasan Kuantan, selain mengetuai Pas cawangan Peramu. Selain dipilih sebagai Naib Yang Dipertua pada pemilihan 2009, almarhum turut diamanahkan sebagai Pengarah Pilihanraya Parlimen Kuantan.

Lulusan Sarjana Muda Ekonomi ini pernah berkhidmat dengan Syarikat ASPA, kemudiannya menjadi Imam di Masjid Tengku Mahkota, Peramu. Almarhum sangat tegas mempertahankan masjid tersebut dari dikuasai oleh Majlis Agama Islam, ketika krisis majlis agama mengambil alih pentadbiran masjid-masjid seluruh negeri Pahang, sehingga almarhum dikekalkan sebagai Imam masjid tersebut.

Sesungguhnya pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada Pas Kawasan Kuantan khususnya dan kepada gerakan Islam amnya. PKBC merakamkan ucapan takziah kepada keluarga almarhum, diharap meraka tabah dan redha dengan pemergiannya.
Semoga segala usaha dan pengorbanan almarhum selama ini, diberi pembalasan yang baik di sisi Allah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh dan para pejuang Islam.Amin.

admin : Jenazah beliau akan disembahyangkan pada jam 10.00 pagi esok, bertempat di surau Pasir Putih Peramu.
Innalillah hiwainna ilaihirajiun... Al-Fatihah.

Thursday, September 3, 2009

PAS Pahang serah deklarasi perkasa bahasa kepada Muhyidin

Hazayani Zakaria
Thu Sep 03, 09 2:25:48 pm MYT

PUTRAJAYA, 3 Sept: Setelah menyerahkan deklarasi seminar mereka, PAS Pahang menunggu tindakan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) berhubung tuntutan mereka agar Bahasa Malaysia di martabatkan sebagai bahasa rasmi dan pembudayaan bangsa.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan berkata demikian selepas mengetuai serahan satu deklarasi seminar kepada Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yasin di Putrajaya pagi tadi.

Deklarasi berkenaan diterima Setiausaha Sulit Kanan Menteri, Khairul Anwar Bachok dan akan dipanjangkan kepada Muhyiddin.

Hadir sama dalam serahan tersebut Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Dr. Hamzah Jaafar dan Setiausaha Perhubungan PAS Negeri, Roslan Zainal.

"Dalam masa terdekat kita akan pastikan perkara ini dapat dilaksanakan dan sekiranya ianya tidak nampak hasil tindakan daripada pihak kementerian insyaAllah tindakan susulan kita akan adakan,"katanya.

Deklarasi yang diperoleh hasil Konvensyen Memartabatkan Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Rasmi Dan Pembudayaan Bangsa yang diadakan pada 16 Ogos lalu di Kompleks Imam As Syafie, Jerantut Pahang mengandungi lima tuntutan.

Pertama, peserta konvensyen tersebut menggesa kerajaan bersungguh-sungguh dalam mendaulatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dan pembudayaan bangsa dalam amalan pemerintah seperti yang terkandung dalam 152 Perlembagaan Malaysia.

Sebarang bentuk ancaman terhadap kedaulatan, pengukuhan dan pembudayaan bahasa seperti yang berlaku sekarang mesti diberhentikan dan dibantah sekeras-kerasnya.

Kedua, mereka mendesak kerajaan menghentikan serta merta dasar pembelajaran dan pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana jelas menjejaskan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dan pembudayaan dalam sistem pendidikan negara.

Dasar itu juga menjadi ancaman terhadap masa depan anak bangsa terutamanya pelajar-pelajar di kawasan luar bandar.

Tuntutan ketiga merupakan desakan kepada kerajaan agar mengembalikan semula tulisan jawi dalam sistem pendidikan bagi meningkatkan penghayatan Al Quran dalam kehidupan bermasyarakat.

Konvensyen berkenaan juga menuntut kerajaan mewajibkan mata pelajaran agama Islam sebagai mata pelajaran wajib lulus peperiksaan kepada pelajar beragama Islam di semua peringkat peperiksaan awam.

Tuntutan terakhir mereka adalah supaya kerajaan memberi ruang kepada semua bangsa lain mengamalkan bahasa ibunda masing-masing kerana ia merupakan perkara asas yang perlu dilindungi.

Dua kertas kerja dibentangkan pada konvensyen anjuran BAdan Perhubungan PAS Negeri Pahang, masing-masing dari Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dan bekas Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan, Abas Awang.

Sementara itu, Setiausaha Perhubungan PAS Pahang, Roslan Zainal berkata, PAS Pahang mahu PPSMI segera dimansuhkan kerana melihat kepada pencapaian pelajar-pelajar di negeri itu agak tercorotterutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

"Pahang amat prihatin dalam isu PPSMI kerana dari segi ranking pencapaian akademik samaada UPSR, PMR atau SPM pelajar-pelajar negeri ini tidak berada di antara yang teratas. Sebab itu kalau boleh kita memang mahu ditamatkan serta merta PPSMI kerana mangsanya ialah antaranya pelajar-pelajar negeri Pahang.

"Mereka yang tingggal di kawasan pedalaman, felda dan sebagainya tidak berkesempatan untuk memperoleh pendidikan yang setara berbanding mereka di kawasan bandar," kata Roslan. _

sumber : harakahdaily.net

PAS Pahang serah deklarasi 5 perkara kepada Muhyidin

Hashim Abdullah
Wed Sep 02, 09 8:28:00 pm MYT

TEMERLOH, 2 Sept: PAS negeri Pahang akan menyerahkan lima deklarasi kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menuntut kerajaan memartabatkan semula Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi.

Ketua Penerangan PAS Pahang, Hasanuddin Salim berkata lima deklarasi bahasa yang telah diperolehi hasil Kovensyen Memartabatkan Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Rasmi dan Pembudayaan Bangsa anjuran PAS Pahang, di Jerantut, baru-baru ini menuntut kepada pemerhatian serius kerajaan yang memerintah.

"Sekretariat kami telah menghubungi pihak kementerian dan memberi penetapan tarikh 3 September (besok) bersamaan hari Khamis untuk bertemu menteri pada pukul 11 pagi di pejabatnya di Putra Jaya. Pihak kami berharap Tan Sri Mahyuddin akan bersedia untuk bertemu dan menerimanya," katanya.

Tambah Hasanuddin penyerahan deklarasi oleh PAS Pahang itu nanti akan membuktikan betapa bersungguhnya PAS Pahang untuk terlibat secara aktif membantu rakyat dalam menyelesaikan kemelut yang menjadi kegelisahan rakyat selama ini.

"Selain dari angka 3 juta pelajar jadi korban akibat pengamalan dasar PPSMI sebagaimana yang didedahkan Mahyuddin, kami juga menuntut supaya bahasa Malaysia itu sendiri hendaklah menjadi bahasa pembudayaan negara."

"Kami melihat pembudayaan bahasa amat penting bagi memperkukuhkan jati diri bangsa. Bahasa juga boleh berperanan membentuk perpaduan nasional," katanya. _

sumber : harakahdaily.net

Tuesday, September 1, 2009

Perutusan Hari Kemerdekaan Negara Ke-52 TG Presiden

Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-52 Kemerdekaan Negara, bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) suka saya mengulangi bahawa pemimpin-pemimpin ulung PAS adalah golongan yang pertama melibatkan diri dengan perjuangan kemerdekaan negara ini.

Mereka menjadi mangsa kezaliman di zaman penjajah. Ketika itu, banyak di kalangan pemimpin negara kita (Umno) bersekongkol dengan penjajah menjadi pegawai-pegawai mereka.
Namun kita tidak menyerah kalah. Kita adalah yang pertama memperjuangkan kemerdekaan (yang) merupakan mata rantai perjuangan sejak kedatangan Islam yang membawa kemerdekaan sebenar.

Kemerdekaan yang dibawa oleh Nabi Muhamad SAW ialah pembebasan manusia daripada mengabdikan diri kepada makhluk kepada hanya mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Itulah makna kemerdekaan yang sebenar.

Oleh kerana itu, Nabi kita Muhamad SAW dalam perjuangannya yang pertama menentang jahiliah Arab. Bukan jahiliah bangsa lain sehingga berjihrah ke Madinah mendirikan Negara Islam.

Sebuah Negara yang berlandaskan kepada pengabdian diri kepada Allah Ta'ala yang membawa keadilan mutlak kepada seluruh manusia.

Bukan sahaja kepada penganut Islam bahkan, juga kepada penganut-penganut agama lain yang bernaung di bawah pemerintahan Islam. Selepas itu, Nabi kita Muhamad SAW datang ke Mekah untuk membebaskan Mekah daripada kuasa jahiliah.

Pembebasan Mekah bukan kerana dijajah oleh penjajah asing Rom dan Parsi. Tetapi dijajah oleh jahiliah Arab dari kalangan kaum keluarga Nabi SAW. Sehingga Mekah dibebaskan dan itulah kemerdekaan sebenar.

Dan ‘obor' kemerdekaan inilah yang dibawa oleh Rubi'e bin Amer kepada Rostum iaitu panglima tentera Parsi dengan kenyataan Rub'ie yang terkenal.

Kata Rubie, "Kami mengajak sesiapa yang mahu kepada satu gagasan dasar dan konsep daripada mengabdikan diri kepada manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah. Daripada kezaliman ajaran pelbagai-bagai agama, teori dan pendekatan ciptaan manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah SWT". Daripada dunia yang sempit kepada wawasan dunia sehingga hari akhirat".

Itulah kemerdekaan yang dibawa oleh Nabi Muhamad SAW. Kemerdekaan inilah yang didokong oleh perjuangan Islam termasuk Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Kita menentang penjajah asing bukan kerana nama asingnya. Tetapi kerana mereka membawa satu fahaman yang mengabdikan diri kepada makhluk dan bukan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Kita halau mereka bukan kerana nama dia asing tetapi kerana mereka membawa suatu ajaran sesat yang menyeleweng dari petunjuk Allah SWT.

Walau pun, negara kita telah dikatakan mencapai kemerdekaan sejak 52 tahun tetapi warisan penjajah masih lagi wujud. Bertapak dan berakal umbi di dalam masyarakat kita.

Oleh kerana itu, kita menganggap isu perjuangan kemerdekaan belum lagi selesai.

PAS akan terus berjuang untuk membawa kemerdekaan yang sebenarnya. Iaitu membebaskan diri manusia dari mengabdikan diri sesama manusia, sama ada berbentuk ideologi, teori dan sebagainya atau pun kepimpinan yang berlagak mengadakan peraturan sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah SWT.

Untuk mengajak mereka membebaskan diri daripada itu semua kepada Islam yang membawa kepada kemerdekaan yang sebenar dan itulah dasar serta konsep kemerdekaan yang kita bawa selama ini.

Sekian, Wassalam

Perjuangan Menuntut Kemerdekaan Belum Selesai -
Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Wednesday, August 26, 2009

Jangan gopoh laksana hukuman sebat - TG Presiden

Wed Aug 26, 09 7:05:40 pm MYT

KUALA LUMPUR, 26 Ogos: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta pihak berkuasa tidak gopoh dalam pelaksanaan hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno sehingga memberi gambaran salah terhadap syariat Islam.

"Apa yang seharusnya berlaku ialah arak haruslah di haramkan penjualannya secara menyeluruh terlebih dahulu kepada semua orang Islam.

"Masyarakat dan kerajaan juga perlu dididik supaya faham bahawa arak adalah haram di sisi agama Islam," kata beliau dalam kenyataannya.

Dalam masa yang sama "kita berharap supaya wanita yang disabitkan itu bertaubat kerana Allah Maha Pengampun," kata beliau.

Abdul Hadi mengulas isu hukuman rotan enam kali ke atas Kartika, model sambilan yang didapati bersalah minum arak di sebuah hotel oleh Mahkamah Tinggi Shariah, Kuantan.

Ia kini menjadi perdebatan umum dan menarik perhatian termasuk wartawan dari luar negara.

"Apa yang paling penting untuk difahami ialah cara sebatan yang dilaksanakan di dalam penjara sekarang adalah sangat berbeza dengan kaedah sebenar hukum Islam," katanya.

Mengikut Islam sebatan ini, perlu mengambil kira keadaan dan kesihatan pesalah, selain dari memastikan pesalah dalam keadaan sepenuhnya berpakaian menutup aurat.

Alat sebatan dan kaedah merotan hendaklah juga sederhana, antaranya bila sebatan dilaksanakan tangan tidak boleh diangkat sehingga menampakkan ketiak.

Sebatan juga, menurut beliau, tidak boleh sampai mencederakan, dan sebatan dilakukan di beberapa tempat pada badan dan bukannya pada satu tempat sahaja.

"Dalam Islam, hukuman ini bukan bersifat untuk menyeksa tetapi bersifat mendidik pelaku kesalahan serta mendidik masyarakat awam supaya gerun untuk melakukan perbuatan itu lagi.

"Aspek pencegahan inilah yang perlu ada dalam melaksanakan hukuman dalam undang-undang Islam. Ianya memerlukan pindaan supaya proses undang-undang Islam yang adil dapat dilaksanakan," katanya.

Bagi beliau, hukuman yang dirujuk sebagai pelaksanaan hukum Islam di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 enakmen sama (Pindaan) 1987 sebenarnya masih tidak mengikut prinsip syarat hukum Islam yang sebenar.

Di bawah hukum Islam, kesalahan meminum arak adalah diletakkan di bawah hukum hudud, iaitu satu hukum yang dinaskan mengikut Al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w.

"Apabila asasnya adalah nas, maka ianya adalah aspek agama Islam yang wajib untuk dilaksanakan kepada penganutnya � kerana ianya berkait dengan tanggungjawab antara manusia dengan Tuhan, antara dosa pahala serta pembalasan di hari akhirat," katanya.

Jika bersandarkan kepada nas, maka hukuman ke atas peminum arak untuk penganut Islam setelah sabit kesalahan ialah sebatan antara 40 - 80 rotan jumlahnya, kata beliau.

Haramnya arak ini, katanya, adalah tidak mengira tempat � samada restoran kecil atau besar, atau hatta di dalam rumah sendiri.

Bagi beliau juga, menjalankan hukuman terhadap peminum arak tanpa menghapuskan puncanya � adalah seumpama menghadapi nyamuk aedes dengan menamparnya sahaja, tetapi longkang-longkang dibiarkan berselerak sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk yang membawa denggi! _

Tuesday, August 25, 2009

Pas Kekalkan Permatang Pasir.

PAS : 9618
BN : 5067

Majoriti : 4551

Rosak : 83

Peratus keluar mengundi 72.78% (14 768 pengundi)


admin : Al-hamdulillah. Syukur kepada Allah kerana memberikan kemenangan.
Tahniah kepada semua petugas yang bertungkus lumus, berhadapan dengan lapas dan dahaga
berpuasa....akhirnya kemenangan menjadi milik kita. Takbir!

Monday, August 17, 2009

Penularan wabak H1N1

Abdul Hadi Awang
Fri Aug 14, 09 5:58:39 pm MYT

Penularan wabak H1N1 yang melanda seluruh dunia dan negara kita Malaysia secara khususnya telah menyebabkan satu suasana yang sangat membimbangkan seluruh rakyat pada waktu ini. Ternyata virus ini tidak mengenal mangsa, samada tua atau muda atau kaya miskin seseorang itu. Sesungguhnya ini adalah ujian Allah SWT kepada kita.

Dalam hal ini, pertamanya PAS ingin merakamkan ucapan takziah kepada rakyat yang telah kehilangan anggota keluarga mereka dalam siri serangan virus ini. Semoga mereka akan terus memperkuatkan semangat dalam berhadapan dengan suasana yang menekan ini.

Kedua, agensi kerajaan yang mendepani dalam menghadapi wabak ini iaitu Kementerian Kesihatan juga seharusnya diberi pelbagai ruang dan sumber yang secukupnya supaya kakitangan kementerian ini dapat menjalankan tugas mereka dengan penuh professional dan selamat. Segala nasihat yang disampaikan dan tindakan yang diambil oleh mereka ini perlu dipandang dengan serius oleh semua pihak. Dalam pada itu juga, segala prosedur dan proses bagi mendapatkan bahan ubatan untuk menghadapi wabak ini yang dijangka berada di pasaran dalam tempuh beberapa bulan lagi juga seharusnya dipermudahkan.

Ketiga, PAS menyeru supaya pihak-pihak institusi pendidikan di semua peringkat yang menempatkan golongan pelajar dalam kelompok yang ramai ini juga untuk mempermudahkan segala proses membuat keputusan untuk melaksanakan tindakan pencegahan terhadap penularan ini.

Keempat, sekiranya diperlukan untuk membantu mana-mana pihak atau sesiapa sahaja dalam suasana sebegini, maka PAS telah bersedia untuk menggerakkan seluruh tenaga sukarelawan menerusi Unit Amal, Lajnah Kebajikan, tenaga doktor dan kaunseling serta alim ulama untuk membantu rakyat dalam menghadapi wabak ini. Ini adalah sumbangan PAS kepada seluruh rakyat supaya kita sama-sama dapat menghadapi suasana ini secara bersama tanpa mengira fahaman politik.

Saturday, August 15, 2009

Jangan ulangi pilihan raya tempat buli rakyat - TG Presiden

PERMATANG PAUH, 15 Ogos: Barisan Nasional telah menjadikan pilihan raya sebelum ini sebagai alat untuk membuli rakyat dengan pelbagai penipuan, rasuah, sogokan dan propaganda dengan menggunakan media serta agensi kerajaan dan wang untuk mengugut dan menipu rakyat.

Sehubungan dengan itu, adalah diharapkan pilihan raya kecil kali ini berjalan dengan penuh berdisiplin tanpa melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya.

Demikian dinyatakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam sidang media selepas mengumumkan calon PAS, Mohd Salleh Man bagi kerusi N.11 Permatang Pasir malam tadi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung, Mustaffa Ali dan kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat daripada PKR dan juga DAP.

Sebelum itu Abdul Hadi berucap di hadapan ribuan penyokong Pakatan Rakyat yang membanjiri perkarangan pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir.

Abdul Hadi dipercayai mengulas pengalaman pilihan raya kecil sebelum ini di mana BN membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk memujuk dan merasuah pengundi.

Selain wang, jentera kerajaan digunakan sewenang-wenangnya untuk membuli rakyat bagi memastikan mereka mengundi BN. Namun sehingga kini, hanya pilihan raya kecil Batang Ai sahaja yang memihak kepada BN.

Dalam ucapannya Presiden PAS itu berkata, dalam musim pilihan raya di negara yang diperintah oleh Umno dan Barisan Nasional rakyat disogok dengan pelbagai-bagai rasuah.

"Rakyat ditipu dengan penjelasan media sebelah pihak yang diamalkan di negara ini.Perkara yang benar tidak akan mendapat liputan kerana ia tidak menyebelahi pemerintah.

"Oleh kerana itu dalam demokrasi ala Umno dan Barisan Nasional hanya media yang menyebelahi mereka sahaja akan dibiarkan menipu dan memutarbelitkan fakta supaya rakyat dapat dibohongi dan dibuli.

"Oleh kerana demokrasi ala Umno dan Barisan Nasional yang telah memerintah negara melebihi 50 tahun, maka rasionalnya mereka dalam memerintah sudah tidak dapat memanfaatkan rakyat dalam jangka masa panjang.

"Oleh itu rakyat harus memberi satu kesedaran kepada Umno dan Barisan Nasional dengan menolak mereka dari terus membuli rakyat termasuklah di Dun Permatang Pasir ini,"katanya.
sumber : harakahdaily.net

Permatang Pasir: Salleh Man lawan Rohaizad

PERMATANG PASIR, 14 Ogos: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man dipilih sebagai calon PAS. Dengan pengumuman ini, beliau akan bertanding melawan calon BN, Rohaizad Otman, Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh. Sehingga kini, Kamarul Ramizu, bekas calon bebas Penanti dan Bukit Gantang akan turut serta dalam pilihan raya kecil ini sebagai calon bebas.

Penamaan calon pilihan raya ini akan diadakan pada 17 Ogos ini manakala pilihan raya akan diadakan pada 24 Ogos.

Pemilihan calon PAS itu diumumkan oleh Abdul Hadi di hadapan ribuan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat.

Kerusi Permatang Pasir kosong apabila penyandangnya, Datuk Hamdan Abdul Rahman, wakil PAS yang memenanginya sejak tahun 1999, meninggal dunia hujung bulan lalu.

Turut hadir dalam majlis pengumuman calon itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali; Ketua PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Hashim; Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Guan Yow dan Pengarah Induk Pilihanraya Permatang Pasir, Datuk Mahfuz Omar.

Sementara itu sebagai permulaan program pilihanraya kecil Permatang Pasir program besar-besaran akan diadakan.

Ia akan dimulakan dengan Program Pelancaran Jentera Dan Bilik Gerakan PRK Permatang Pasir pada 16 Ogos 2009 (Ahad) bertajuk �Anwar akan jawab siapa pengkhianat Melayu� di Permatang Pasir.

Antara penceramahnya adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Dr Mansor Othman, Saifudin Nasution, Haji Mohamad Sabu dan Datuk Zahrain Hashim,

Ceramah besar-besaran juga akan diadakan di Taman Cermai, Permatang Pauh. Antara penceramahnya adalah Anwar, Abdul Hadi, Lim Kit Siang dan Mohd Sabu.

sumber : harakahdaily.net

Saturday, August 1, 2009

Takziah buat keluarga Hamdan dan penduduk Dun Permatang Pasir - TG Presiden

Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Fri Jul 31, 09 4:36:35 pm MYT


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga dan penduduk Dewan Undangan Negeri (Dun) Permatang Pasir di atas pemergian ADUN Permatang Pasir, Ustaz Dato' Hamdan Abdul Rahman ke rahmatullah pada pagi ini.

Pemergian beliau ini bukan sahaja dirasai oleh seluruh keluarga Allahyarham dan penduduk Dun Permatang Pasir, tetapi juga merupakan satu kehilangan besar kepada seluruh pendukung gerakan Islam, khasnya PAS.

Allahyarham Ustaz Dato' Hamdan adalah seorang pejuang gigih yang telah lama berkhidmat kepada gerakan Islam dalam pelbagai peringkat kepemimpinan.

Selain pernah memimpin PAS Pulau Pinang selama 11 tahun, beliau turut aktif dalam beberapa gerakan dakwah termasuk ABIM pada 1970-an. Beliau juga adalah merupakan aktivis sosial yang cemerlang sehingga diberi kepercayaan berada dalam pimpinan PEMADAM Pulau Pinang pada satu ketika dahulu.

Wakil rakyat sejak 1999

Berkat komitmen berterusan ini, Allahyarham telah dipilih oleh rakyat Permatang Pasir untuk menjadi wakil rakyat sejak dari tahun 1999 lagi.

Allahyarham Dato' Hamdan adalah seorang pemimpin yang tawaduk kerana tidak suka menonjolkan diri walaupun mempunyai latar belakang pendidikan yang baik. Selain mempunyai kelulusan pendidikan Inggeris di peringkat Senior Cambridge, beliau juga adalah lulusan Rubu' Thanawi dalam bidang agama serta beberapa kali mengikuti kursus dalam pengurusan kastam.

Sumbangan beliau juga sangat besar kepada negara kerana beliau pernah berkhidmat dalam Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, sebelum aktif dalam politik.

Dalam Majlis Ulang Tahun Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang pada minggu sudah, beliau telah dianugerah pingat Darjah Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Dato'.

Bagi pihak seluruh pimpinan dan ahli-ahli PAS, saya merakamkan jutaaan takziah dan berharap seluruh keluarga, sahabat handai dan penduduk Permatang Pasir dapat bersabar dengan ketentuan Ilahi ini. Saya berdoa semoga Allah SWT melimpahi rahmat ke atas roh beliau dan mudah-mudahan beliau ditempatkan bersama-sama roh para solihin dengan izin Allah SWT, Insya Allah.

DATO' SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
31 Jualai 2009
_

Friday, July 31, 2009

Adun PAS Permatang Pasir meninggal dunia.

Sabri Said dan Wan Nordin Wan Yaacob
Fri Jul 31, 09 9:07:05 am MYT

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Hrkh)- Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Hamdan Abdul Rahman meninggal dunia awal pagi hari ini di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.

Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Saleh Man ketika memberitahu, jenazahnya dalam urusan di bawa balik ke Pusat Khidmat Dun yang pernah menjadi tempat tinggal sewanya sewaktu memenangi Dun Permatang Pasir sejak pilihanraya umum ke 10 tahun 1999 lalu.

Menurutnya, Allahyarham telah seminggu berada di IJN untuk menjalani rawatan susulan akibat kesakitan di bahagian jantung kembali setelah menjalani pembedahan sebelum pilihanraya umum ke 11 tahun 2003 di Hospital Besar Pulau Pinang.

Pada Pilihan raya ke 12 lalu beliau sekali lagi menang dengan majoriti besar mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) sekaligus mengekalkan kemenangan tiga penggal berturut-turut bersama Ahli Parlimen Permatang Pauh, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Allahyarham menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri selama 11 tahun setelah pemergian Allahyarham Tuan Guru Haji Zabidi Ali penghujung tahun 1980 an. Beliau seorang yang dedikasi dan merupakan pejuang yang sanggup berkorban apa sahaja termasuk harta benda kerana memartabatkan Islam, " jelasnya.

Baru-baru ini Allahyarham dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Dato' sempena ulangtahun Tuan Yang Terutama Dato' Seri Utama Dr Abdul Rahman Abbas yang ke 71.

Harakhadaily dimaklumkan, jenazah Allahyarham bertolak dari IJN pukul 10 pagi ini dan dijangka sampai ke Permatang Pasir jam 2 petang ini.

Bagaimanapun tempat dan waktu pengkebumianya belum dipastikan cuma berkemungkinan petang ini.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar dalam smsnya kepada Harakahdaily memaklumkan sedang dalam perjalanan ke IJN bagi menziarahi Allahyarham, beberapa pimpinan dijangka akan menziarahi jenazah dalam masa terdekat.

AJK PAS Pusat, Dato' Kamarudin Jaffar menyifatkan pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar kepada PAS.

"Allahyarham adalah seorang pemimpin PAS yang amat kuat bekerja, rapat dengan rakyat sehingga mampu mempertahankan kerusi di Permatang Pasir walau dalam keadaan genting," ujarnya./wann _


Admin : Al-Fatihah untuk Allahyarham Ust. Hamdan, semoga segala pengorbanan yang telah diberikan oleh beliau kepada perjuangan Islam diberikan pembalasan yang sebaiknya oleh Allah s.w.t. Semoga ruhnya di cucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama mereka yang diredhai oleh Allah s.w.t.

Namun yang tinggal, perlu bersiap siaga demi mempertahankan kerusi DUN Permatang Pasir, demi memastikan kesinambungan Islam terus kekal di situ.

Tuesday, July 21, 2009

ISA 'penyelamat' pemimpin pemerintah, bukan keselamatan negara - TG Presiden

Izwan Abdul Halim
Tue Jul 21, 09 9:23:49 am MYT

ALOR SETAR, 21 Julai (Hrkh) -Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada masa ini bukan lagi undang-undang keselamatan negara sebaliknya menjadi undang-undang keselamatan kepada tokoh dan pemimpin parti yang memerintah.

Demikian ditegaskan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang baru-baru ini berhubung akta 'tanpa bicara' yang telah mendapat bantahan seluruh masyarakat sekaligus menggesa kerajaan memanmsuhkannya serta-merta.

Katanya, ISA adalah undang-undang zaman penjajah sedangkan negara ini memerlukan satu undang-undang yang merdeka tanpa mengongkong rakyat sebaliknya bertujuan untuk menjaga keamanan dan keselamatan.

"Bukan kita tidak boleh bertindak untuk selamatkan negara. Tetapi undang-undang itu sudah lapuk, undang-undang yang diamalkan oleh penjajah. Kita sudah merdeka, mesti undang-undang yang tidak mengongkong rakyat, yang menjaga keamanan, keselamatan.

"Apa yang berlaku hari ini undang-undang keselamatan negara menjadi undang-undang keselamatan pemimpin-pemimpin parti yang memerintah, keselamatan tokoh-tokoh yang memerintah, ini bukan undang-undang keselamatan negara!" tegasnya pada sidang media di Hotel Holiday Villa, di sini semalam

Ditanya wartawan mengenai kedapatan pihak dalam Umno yang mulai mempertikaikan ISA, Ustaz Hadi menyifatkan perkara itu sebagai kejayaan dari teguran dan kritik dibuat selama ini.

"Menunjukkan bahawa mereka (Umno) sudah tidak bersetuju dengan konsep ISA itu dan dasarnya yang perlu dikaji semula, perlu dinilai semula. Apatah lagi akta ini akta dari zaman penjajahan, negara kita telah mencapai kemerdekaan, sepatutnya dilakukan pembaharuan termasuklah pembaharuan undang-undang; memerdekakan undang-undang negara, undang-undang negara mesti dibebaskan dari belengu-belengu kezaliman yang mengongkong rakyat.

"Umno juga ada yang setuju mansuh, ada yang setuju pinda, (maknanya) dalam Umno sudah ada perbahasan di dalam mereka," ujarnya pada sidang media selepas selesai Retreat PAS Pusat yang berlangsung selama tiga hari itu.

Turut serta pada sidang media tersebut ialah Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa; Naib Presiden, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan Dato' Mahfuz Omar; Ketua Muslimat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh; Setiausaha Agung, Dato' Mustafa Ali; Ketua Penerangan, Ustaz Idris Ahmad dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak. - azm _