______________________________________________________________________________

IKLANEKA RINGKAS@PKBC

BERITA BAIK UNTUK KAKI PANCING

Khidmat sewaan bot berenjin dan tanpa enjin
Di Sungai Belat Batu 3 Kuantan
Hubungi Tuan Haji Roslan (hj. Lan) 013-9454682.


KHIDMAT PENGIKLANAN RINGKAS DI RUANGAN INI
Untuk Maklumat Lanjut, Sila Hubungi Sdr. SUK Kawasan Kuantan.


Perlancaran Bulan Infaq Pas Pahang



______________________________________________________________________________

Wednesday, August 26, 2009

Jangan gopoh laksana hukuman sebat - TG Presiden

Wed Aug 26, 09 7:05:40 pm MYT

KUALA LUMPUR, 26 Ogos: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta pihak berkuasa tidak gopoh dalam pelaksanaan hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno sehingga memberi gambaran salah terhadap syariat Islam.

"Apa yang seharusnya berlaku ialah arak haruslah di haramkan penjualannya secara menyeluruh terlebih dahulu kepada semua orang Islam.

"Masyarakat dan kerajaan juga perlu dididik supaya faham bahawa arak adalah haram di sisi agama Islam," kata beliau dalam kenyataannya.

Dalam masa yang sama "kita berharap supaya wanita yang disabitkan itu bertaubat kerana Allah Maha Pengampun," kata beliau.

Abdul Hadi mengulas isu hukuman rotan enam kali ke atas Kartika, model sambilan yang didapati bersalah minum arak di sebuah hotel oleh Mahkamah Tinggi Shariah, Kuantan.

Ia kini menjadi perdebatan umum dan menarik perhatian termasuk wartawan dari luar negara.

"Apa yang paling penting untuk difahami ialah cara sebatan yang dilaksanakan di dalam penjara sekarang adalah sangat berbeza dengan kaedah sebenar hukum Islam," katanya.

Mengikut Islam sebatan ini, perlu mengambil kira keadaan dan kesihatan pesalah, selain dari memastikan pesalah dalam keadaan sepenuhnya berpakaian menutup aurat.

Alat sebatan dan kaedah merotan hendaklah juga sederhana, antaranya bila sebatan dilaksanakan tangan tidak boleh diangkat sehingga menampakkan ketiak.

Sebatan juga, menurut beliau, tidak boleh sampai mencederakan, dan sebatan dilakukan di beberapa tempat pada badan dan bukannya pada satu tempat sahaja.

"Dalam Islam, hukuman ini bukan bersifat untuk menyeksa tetapi bersifat mendidik pelaku kesalahan serta mendidik masyarakat awam supaya gerun untuk melakukan perbuatan itu lagi.

"Aspek pencegahan inilah yang perlu ada dalam melaksanakan hukuman dalam undang-undang Islam. Ianya memerlukan pindaan supaya proses undang-undang Islam yang adil dapat dilaksanakan," katanya.

Bagi beliau, hukuman yang dirujuk sebagai pelaksanaan hukum Islam di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 enakmen sama (Pindaan) 1987 sebenarnya masih tidak mengikut prinsip syarat hukum Islam yang sebenar.

Di bawah hukum Islam, kesalahan meminum arak adalah diletakkan di bawah hukum hudud, iaitu satu hukum yang dinaskan mengikut Al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w.

"Apabila asasnya adalah nas, maka ianya adalah aspek agama Islam yang wajib untuk dilaksanakan kepada penganutnya � kerana ianya berkait dengan tanggungjawab antara manusia dengan Tuhan, antara dosa pahala serta pembalasan di hari akhirat," katanya.

Jika bersandarkan kepada nas, maka hukuman ke atas peminum arak untuk penganut Islam setelah sabit kesalahan ialah sebatan antara 40 - 80 rotan jumlahnya, kata beliau.

Haramnya arak ini, katanya, adalah tidak mengira tempat � samada restoran kecil atau besar, atau hatta di dalam rumah sendiri.

Bagi beliau juga, menjalankan hukuman terhadap peminum arak tanpa menghapuskan puncanya � adalah seumpama menghadapi nyamuk aedes dengan menamparnya sahaja, tetapi longkang-longkang dibiarkan berselerak sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk yang membawa denggi! _

Tuesday, August 25, 2009

Pas Kekalkan Permatang Pasir.

PAS : 9618
BN : 5067

Majoriti : 4551

Rosak : 83

Peratus keluar mengundi 72.78% (14 768 pengundi)


admin : Al-hamdulillah. Syukur kepada Allah kerana memberikan kemenangan.
Tahniah kepada semua petugas yang bertungkus lumus, berhadapan dengan lapas dan dahaga
berpuasa....akhirnya kemenangan menjadi milik kita. Takbir!

Monday, August 17, 2009

Penularan wabak H1N1

Abdul Hadi Awang
Fri Aug 14, 09 5:58:39 pm MYT

Penularan wabak H1N1 yang melanda seluruh dunia dan negara kita Malaysia secara khususnya telah menyebabkan satu suasana yang sangat membimbangkan seluruh rakyat pada waktu ini. Ternyata virus ini tidak mengenal mangsa, samada tua atau muda atau kaya miskin seseorang itu. Sesungguhnya ini adalah ujian Allah SWT kepada kita.

Dalam hal ini, pertamanya PAS ingin merakamkan ucapan takziah kepada rakyat yang telah kehilangan anggota keluarga mereka dalam siri serangan virus ini. Semoga mereka akan terus memperkuatkan semangat dalam berhadapan dengan suasana yang menekan ini.

Kedua, agensi kerajaan yang mendepani dalam menghadapi wabak ini iaitu Kementerian Kesihatan juga seharusnya diberi pelbagai ruang dan sumber yang secukupnya supaya kakitangan kementerian ini dapat menjalankan tugas mereka dengan penuh professional dan selamat. Segala nasihat yang disampaikan dan tindakan yang diambil oleh mereka ini perlu dipandang dengan serius oleh semua pihak. Dalam pada itu juga, segala prosedur dan proses bagi mendapatkan bahan ubatan untuk menghadapi wabak ini yang dijangka berada di pasaran dalam tempuh beberapa bulan lagi juga seharusnya dipermudahkan.

Ketiga, PAS menyeru supaya pihak-pihak institusi pendidikan di semua peringkat yang menempatkan golongan pelajar dalam kelompok yang ramai ini juga untuk mempermudahkan segala proses membuat keputusan untuk melaksanakan tindakan pencegahan terhadap penularan ini.

Keempat, sekiranya diperlukan untuk membantu mana-mana pihak atau sesiapa sahaja dalam suasana sebegini, maka PAS telah bersedia untuk menggerakkan seluruh tenaga sukarelawan menerusi Unit Amal, Lajnah Kebajikan, tenaga doktor dan kaunseling serta alim ulama untuk membantu rakyat dalam menghadapi wabak ini. Ini adalah sumbangan PAS kepada seluruh rakyat supaya kita sama-sama dapat menghadapi suasana ini secara bersama tanpa mengira fahaman politik.

Saturday, August 15, 2009

Jangan ulangi pilihan raya tempat buli rakyat - TG Presiden

PERMATANG PAUH, 15 Ogos: Barisan Nasional telah menjadikan pilihan raya sebelum ini sebagai alat untuk membuli rakyat dengan pelbagai penipuan, rasuah, sogokan dan propaganda dengan menggunakan media serta agensi kerajaan dan wang untuk mengugut dan menipu rakyat.

Sehubungan dengan itu, adalah diharapkan pilihan raya kecil kali ini berjalan dengan penuh berdisiplin tanpa melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya.

Demikian dinyatakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam sidang media selepas mengumumkan calon PAS, Mohd Salleh Man bagi kerusi N.11 Permatang Pasir malam tadi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung, Mustaffa Ali dan kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat daripada PKR dan juga DAP.

Sebelum itu Abdul Hadi berucap di hadapan ribuan penyokong Pakatan Rakyat yang membanjiri perkarangan pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir.

Abdul Hadi dipercayai mengulas pengalaman pilihan raya kecil sebelum ini di mana BN membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk memujuk dan merasuah pengundi.

Selain wang, jentera kerajaan digunakan sewenang-wenangnya untuk membuli rakyat bagi memastikan mereka mengundi BN. Namun sehingga kini, hanya pilihan raya kecil Batang Ai sahaja yang memihak kepada BN.

Dalam ucapannya Presiden PAS itu berkata, dalam musim pilihan raya di negara yang diperintah oleh Umno dan Barisan Nasional rakyat disogok dengan pelbagai-bagai rasuah.

"Rakyat ditipu dengan penjelasan media sebelah pihak yang diamalkan di negara ini.Perkara yang benar tidak akan mendapat liputan kerana ia tidak menyebelahi pemerintah.

"Oleh kerana itu dalam demokrasi ala Umno dan Barisan Nasional hanya media yang menyebelahi mereka sahaja akan dibiarkan menipu dan memutarbelitkan fakta supaya rakyat dapat dibohongi dan dibuli.

"Oleh kerana demokrasi ala Umno dan Barisan Nasional yang telah memerintah negara melebihi 50 tahun, maka rasionalnya mereka dalam memerintah sudah tidak dapat memanfaatkan rakyat dalam jangka masa panjang.

"Oleh itu rakyat harus memberi satu kesedaran kepada Umno dan Barisan Nasional dengan menolak mereka dari terus membuli rakyat termasuklah di Dun Permatang Pasir ini,"katanya.
sumber : harakahdaily.net

Permatang Pasir: Salleh Man lawan Rohaizad

PERMATANG PASIR, 14 Ogos: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man dipilih sebagai calon PAS. Dengan pengumuman ini, beliau akan bertanding melawan calon BN, Rohaizad Otman, Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh. Sehingga kini, Kamarul Ramizu, bekas calon bebas Penanti dan Bukit Gantang akan turut serta dalam pilihan raya kecil ini sebagai calon bebas.

Penamaan calon pilihan raya ini akan diadakan pada 17 Ogos ini manakala pilihan raya akan diadakan pada 24 Ogos.

Pemilihan calon PAS itu diumumkan oleh Abdul Hadi di hadapan ribuan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat.

Kerusi Permatang Pasir kosong apabila penyandangnya, Datuk Hamdan Abdul Rahman, wakil PAS yang memenanginya sejak tahun 1999, meninggal dunia hujung bulan lalu.

Turut hadir dalam majlis pengumuman calon itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali; Ketua PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Hashim; Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Guan Yow dan Pengarah Induk Pilihanraya Permatang Pasir, Datuk Mahfuz Omar.

Sementara itu sebagai permulaan program pilihanraya kecil Permatang Pasir program besar-besaran akan diadakan.

Ia akan dimulakan dengan Program Pelancaran Jentera Dan Bilik Gerakan PRK Permatang Pasir pada 16 Ogos 2009 (Ahad) bertajuk �Anwar akan jawab siapa pengkhianat Melayu� di Permatang Pasir.

Antara penceramahnya adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Dr Mansor Othman, Saifudin Nasution, Haji Mohamad Sabu dan Datuk Zahrain Hashim,

Ceramah besar-besaran juga akan diadakan di Taman Cermai, Permatang Pauh. Antara penceramahnya adalah Anwar, Abdul Hadi, Lim Kit Siang dan Mohd Sabu.

sumber : harakahdaily.net

Saturday, August 1, 2009

Takziah buat keluarga Hamdan dan penduduk Dun Permatang Pasir - TG Presiden

Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Fri Jul 31, 09 4:36:35 pm MYT


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga dan penduduk Dewan Undangan Negeri (Dun) Permatang Pasir di atas pemergian ADUN Permatang Pasir, Ustaz Dato' Hamdan Abdul Rahman ke rahmatullah pada pagi ini.

Pemergian beliau ini bukan sahaja dirasai oleh seluruh keluarga Allahyarham dan penduduk Dun Permatang Pasir, tetapi juga merupakan satu kehilangan besar kepada seluruh pendukung gerakan Islam, khasnya PAS.

Allahyarham Ustaz Dato' Hamdan adalah seorang pejuang gigih yang telah lama berkhidmat kepada gerakan Islam dalam pelbagai peringkat kepemimpinan.

Selain pernah memimpin PAS Pulau Pinang selama 11 tahun, beliau turut aktif dalam beberapa gerakan dakwah termasuk ABIM pada 1970-an. Beliau juga adalah merupakan aktivis sosial yang cemerlang sehingga diberi kepercayaan berada dalam pimpinan PEMADAM Pulau Pinang pada satu ketika dahulu.

Wakil rakyat sejak 1999

Berkat komitmen berterusan ini, Allahyarham telah dipilih oleh rakyat Permatang Pasir untuk menjadi wakil rakyat sejak dari tahun 1999 lagi.

Allahyarham Dato' Hamdan adalah seorang pemimpin yang tawaduk kerana tidak suka menonjolkan diri walaupun mempunyai latar belakang pendidikan yang baik. Selain mempunyai kelulusan pendidikan Inggeris di peringkat Senior Cambridge, beliau juga adalah lulusan Rubu' Thanawi dalam bidang agama serta beberapa kali mengikuti kursus dalam pengurusan kastam.

Sumbangan beliau juga sangat besar kepada negara kerana beliau pernah berkhidmat dalam Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, sebelum aktif dalam politik.

Dalam Majlis Ulang Tahun Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang pada minggu sudah, beliau telah dianugerah pingat Darjah Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Dato'.

Bagi pihak seluruh pimpinan dan ahli-ahli PAS, saya merakamkan jutaaan takziah dan berharap seluruh keluarga, sahabat handai dan penduduk Permatang Pasir dapat bersabar dengan ketentuan Ilahi ini. Saya berdoa semoga Allah SWT melimpahi rahmat ke atas roh beliau dan mudah-mudahan beliau ditempatkan bersama-sama roh para solihin dengan izin Allah SWT, Insya Allah.

DATO' SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
31 Jualai 2009
_