______________________________________________________________________________

IKLANEKA RINGKAS@PKBC

BERITA BAIK UNTUK KAKI PANCING

Khidmat sewaan bot berenjin dan tanpa enjin
Di Sungai Belat Batu 3 Kuantan
Hubungi Tuan Haji Roslan (hj. Lan) 013-9454682.


KHIDMAT PENGIKLANAN RINGKAS DI RUANGAN INI
Untuk Maklumat Lanjut, Sila Hubungi Sdr. SUK Kawasan Kuantan.


Perlancaran Bulan Infaq Pas Pahang



______________________________________________________________________________

Showing posts with label Naib President. Show all posts
Showing posts with label Naib President. Show all posts

Monday, October 26, 2009

Pandangan Dr. Abdul Aziz Dihargai - PJ

Ulasan Dr Aziz Bari berhubung kekalahan PAS di Bagan Pinang adalah sebahagian daripada komentar ahli akademik yang perlu diberi perhatian, sebagaimana kita memberi perhatian kepada pandangan lain yang berada di luar kotak politik. Oleh kerana bidang politik bukan milik ahli politik sahaja, maka semua pandangan boleh diberi; walaupun tentulah agak berbeza mereka yang berada dalam gelanggang dengan yang berada di luar gelanggang. Perbezaan tersebut merupakan lumrah penilaian. Saya menghormati pandangan beliau sebagai ahli akademik, yang melihat dari sudutnya yang tersendiri. Walaupun saya sendiri mempunyai pandangan yang berbeza kerana mungkin saya berada dalam gelanggang dan sebahagian dari kepimpinan parti.

Ada beberapa perkara yang mungkin tiada dalam maklumat beliau menyebabkan pandangan yang diberi agak bersifat kritis. Beliau mencadangkan agar parti mendisiplinkan Hassan Ali atau menyingkirkan terus, kemudian beliau menyatakan bahawa ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hassan dilihat mewakili golongan yang pro umno dalam PAS seperti Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Nasaruddin Mat Isa dan penyokong mereka. Saya ingin tegaskan ini pandangan beliau dalam posisinya sebagai ahli akademik. Tentulah banyak perkara dalaman yang dibincang dan dihalusi dalaman parti tiada dalam pengetahuannya.

Isu berlaku di Selangor bukan sahaja pertembungan untuk menarik sokongan, Bagi PAS isu utama bagaimana kita sebagai pemimpin yang akan bertanggungjawab terhadap rakyat dari dunia sampai akhirat. Kita memerlukan rakyat yang bermoral. Masyarakat menilai kita yang mewakili suara Islam dalam kerajaan. Apa tindakan kita untuk membina rakyat yang bermoral. Dr Hassan sebagai exco agama akan ditempelak tidak melakukan apa-apa bagi membela umat Islam, dalam isu arak. Tindakan beliau dengan dokongan Badan Perhubungan Negeri dan dibincang dalam exco kerajaan, bukan membuat peraturan baru, hanya sekadar melaksanakan enakmen yang sedia ada, yang tidak dikuatkuasakan selama ini.

Dalam keghairahan kita menjaga hati pengundi bukan Islam, jangan kita lupa bahawa pengundi Islam ingin melihat pembelaan kepada dasar Islam. Kita mengambil jalan tengah dengan tidak mengganggu golongan bukan Islam untuk mendapatkan minuman keras, cuma kita meminta agar penjualannya di kawasan majoriti umat Islam dihapuskan.

Mungkin Dr Aziz Bari melihat bahawa Dr Hassan Ali tidak perlu membuat kenyataan terbuka, sehingga dilihat wujudnya pertembungan antara PR. Saya ingn tegaskan bahawa isu ini telah dibincang dan beberapa kenyataan telah dikeluarkan dalam media berhubung perkara ini. Tetapi atas kedudukannya sebagai exco kerajaan yang menjaga agama dan Pesuruhjaya Negeri, saya fikir beliau juga mempunyai kekangan bila diajukan persoalan oleh pemberita, dan masyakakat juga ingin mendengar kenyataannya sebagai exco agama. Yang lebih adil ialah mendapatkan penjelasan sebenar terhadap kenyataannya, bukan hanya melalui media perdana yang tentunya lebih suka melihat pertembungan dalam PR, serta melihat juga pendirian Badan Perhubungan Negeri yang merupakan badan tertinggi parti di peringkat negeri.

Saya melihat kenyataan kontroversi bukan sahaja dari kalangan PAS, bahkan kenyataan serupa berlaku di Kedah oleh pimpinan DAP berhubung isu pusat penyembelihan, kouta perumahan, dan lainnya. Kita melihat perbezaan dalam PR adalah sikap keterbukaan kita, dan ternyata dalam beberapa pertemuan pimpinan PR, hubungan antara kita sangat kukuh, mesyuarat dwi bulanan PR merupakan medan penting bagi pengukuhan ini.

Walau bagaimanapun pandangan Dr Aziz Bari bahawa agak sukar untuk dilakukan kerana beliau ( Dr Hassan Ali) dilihat mewakili golongan yang pro Umno. Kenyataan ini tentunya agak keterlaluan, kerana Jawatankuasa Disiplin parti tidak sesekali terikat dengan apa yang disangka oleh beliau. Kita mempunyai rujukan peraturan dan tindakan. Jawatankuasa Disiplin sehingga kini menerima saranan daripada PR agar semua kepimpinan parti terikat dengan peraturan parti masing-masing, tetapi menegaskan agar tiada kenyataan yang boleh menimbulkan keretakan dalam Pakatan.

Sehingga kini Jawatankuasa Disiplin PAS tidak menerima apa-apa surat rasmi berhubung perkara tersebut. Namun perlu dinyatakan bahawa PR dalam mesyuarat lalu telah memanggil sama semua exco Selangor bagi mendengar permasalahannya, dan mesyuarat Harian Pusat juga telah mengundang Harian Selangor bagi mendengar permasalahan yang berlaku, dan telah membuat ingatan agar semua kenyataan yang boleh megeruhkan suasana dalam PR dielakkan, bahkan sebarang perkara yang mempunyai perbezaan pandangan dapat diselesaikan dalam mesyuarat exco dan parti masing-masing.

Jelas ianya tiada kena mengena dengan pro Umno atau sebaliknya. Kita telah gagaskan kenyataan bahawa kita perlu perkukuhkan PR. Ini gagasan bersama yang telah kita lakukan. Tetapi ianya bukanlah bermakna kita tidak boleh berbeza pandangan dalam berhadapan pelbagai isu yang berlaku. Bahkan saya ingatkan bersama bahawa sejarah perjuangan Islam dan sunnatulLah dalam jamaah Islam, sesiapa yang khianat dalam perjuangan ia akan gugur dari jamaah, samada Allah akan mendedahkan keburukan mereka atau jamaah akan menggugurkannya.

Antaranya beliau (Dr Aziz Bari ) memetik pandangan yang menyatakan Presiden tidak memberi respon terhadap apa yang berlaku di Selangor. Akibatnya pelbagai tuduhan yang menyamakan beliau dengan bekas presiden UMNO dan lainnya. Sedangkan realitinya beliau telahpun memberikan respon kepada apa yang berlaku, bahkan sebelumnya Timbalan Presiden telah membuat kenyataan akhbar tentang isu tersebut. Presiden berulang kali menyatakannya dalam pelbagai pertemuan parti, Cuma kita harus ingat bahawa media arus perdana tidak menyiarkan kenyataan beliau, sebagaimana mereka menyiarkan berita yang mengambarkan keretakan dalam PR. Namun Dr Aziz Bari ternyata tidak seronok dengan kenyataan dari Timbalan Presiden yang dilihat membela Hassan Ali. Dalam situasi yang ada apa jua kenyataan tentulah akan ada yang setuju dan sebaliknya. Yang tentunya kita tidak boleh minta agar semua kenyataan sesuai dengan kehendak kita.

Namun saya melihat pandangan beliau agak tersasar dari tajuk utama kerana apakah kerana kita tewas dalam satu PRK maka perubahan kepimpinan perlu dilakukan. Bagaimana dengan kemenagan sebelum ini, apakah ia tidak dilihat kejayaan kepimpinan yang ada? Mari kita kembali kepada peringatan Allah : “Boleh jadi apa yang kamu tidak suka, ianya baik bagi kamu, dan apa yang kamu suka ianya tidak baik bagi kamu, sesungguhnya Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahuinya”.

Friday, October 16, 2009

Pahang diminta segera bayar saman, elak bebankan rakyat

Hazayani Zakaria
Fri Oct 16, 09 2:06:13 pm MYT


KUALA LUMPUR, 16 Okt: Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man meminta kerajaan Pahang membayar segera saman berjumlah RM65 juta kepada syarikat pembalakan Seruan Gemilang Makmur (SGM) bagi mengelakkan wang rakyat terus dikorbankan.

Beliau berkata, sikap kerajaan yang melengah-lengahkan bayaran saman tersebut sejak sekian lama akan mendatangkan lebih banyak masalah kerana faedah sebanyak RM8, 000 sehari terus berjalan seperti yang diputuskan mahkamah.

"Saya harap kerajaan negeri menyelesaikan kes ini dengan menjelaskan hutang yang tertangguh kerana jika kerajaan lambat memjelaskannya, kadar interest (faedah) sebanyak RM8, 000 terus berjalan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Mahkamah Rayuan Putrajaya minggu lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 2007 yang mengarahkan kerajaan negeri membayar saman kepada SGM kerana melanggar perjanjian pemberian konsesi pembalakan di kawasan seluas 4,000 hektar di Mukim Bebar, Pekan.

Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 mengeluarkan satu perintah kepada kerajaan negeri supaya membayar ganti rugi berjumlah RM37, 127, 471.60 kepada SGM dengan kadar faedah 8 peratus setahun mulai Disember 2000 (jumlah keseluruhan RM60juta).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob bagaimanapun memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi bagi menangguhkan keputusan mahkamah itu namun gagal dalam rayuannya.

Sehingga 7 April 2008, pihak defendan (Adnan dan kerajaan negeri) gagal membuat sebarang bayaran ataupun menghubungi SGM menyebabkan kedua-duanya dianggap melanggar dan menghina keputusan mahkamah.

Seterusnya pada 20 April 2008 Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah mandamus (perintah akur bayar) terhadap Adnan dan kerajaan negeri bagi melunaskan bayaran RM63 juta kepada SGM dalam tempoh 14 hari mulai dari tarikh itu.

Adnan sekali lagi memohon mengenepikan kes melalui Mahkamah Rayuan dan beliau dilepaskan dari membayar hutang tersebut.

Hutang sebenar kerajaan negeri sekarang sudah menghampiri RM65juta kerana faedah sebanyak RM8, 000 sehari terus berjalan.

Menurut Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, meskipun mahkamah rayuan melepaskan Adnan daripada membayar hutang tersebut, namun kerajaan negeri tetap terpaksa membayarnya.

Ujarnya, keputusan mahkamah itu juga hanya untuk membersihkan nama Adnan sedangkan kerajaan negeri terus terbeban dengan hutang yang semakin meningkat sekaligus menyebabkan rakyat turut merasai tempiasnya.

"Keputusan mahkamah itu bersifat teknikal sahaja untuk membersihkan nama Adnan sedangkan kerajaan negeri tetap mengagung hutang," katanya.

Beliau juga mendakwa, akibat penyelewengan dan rasuah yang dilakukan kerajaan Umno BN menyebabkan wang rakyat terpaksa digunakan untuk menyelesaikan bebanan hutang.

"Disebabkan penyelewengan dan salahguna kuasa kerajaan negeri, rakyat yang terpaksa menanggung kerugian. Ini tak sepatutnya berlaku," tegasnya._

Wednesday, June 10, 2009

Ciri-Ciri Kerajaan Perpaduan, Kenapa Kita Berpolimik? - PJ

Bila mana Presiden mengutarakan gagasan kerajaan perpaduan, ramai di kalangan kita membuat pelbagai tafsiran dan andaian. Ada pandangan terkeluar dari akhlak jamaah dan sebahagian besarnya masih dalam batas berjamaah. Kesemua permasalahan ini berpunca dari tiada satu penjelasan lengkap dikeluarkan. Idea yang dilontar oleh pimpinan tentulah berpijak dari dasar syarak dan jauh daripada tindakan merugikan parti atau gabungan pakatan Rakyat. PAS tidak akan mengkhianati Pakatan kita, bahkan kita akan perkukuhkan gabungan ini menjadi alternatif bagi rakyat.

Sebagai ahli parti, kita mesti menerima idea dan gagasan ini dengan baik sangka kepada Presiden disamping mengikuti penjelasan darinya. Idea ini dilontar diperingkat awal untuk menjadi bahan renungan semua pihak. Satu lontaran idea dan gagasan besar yang tidak seharusnya berlalu tanpa diadakan wacana ilmiah bagi membincangkannya. Saya suka jelaskan bahawa YB Dato’ Sri Presiden akan membuat dan memperhalusi gagasan ini dalam masa terdekat dan satu wacana kepimpinan akan diadakan. Namun bagi mengurangkan sedikit polimik yang sengaja dibesarkan oleh media arus perdana, saya suka menggambarkan beberapa prinsip yang wujud dalam gagasan ini:

  • Antara asas utama dalam kerajaan perpaduan ini ialah bertolak kepada firman Allah “..dan bertolong bantulah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan jangan bertolong bantu dalam perkara dosa dan permusuhan”. Konsep taawun yang melahirkan muafakat yang disaran oleh Allah menjadi asas dalam pembinaan Negara perpaduan. Kita mesti membina Negara berasaskan kepada al-bir (kebaikan) yang meliputi semua elemen kebaikan bagi rakyat. Kita mesti menyedari pembinaan Negara Perpaduan tidak akan lahir dari sistem yang kelam kabut, rasuah dan penyelewengan, pimpinan yang tidak berakhlak, sistem yang penuh dengan kezaliman, dan akta yang digunakan bagi menindas rakyat. Apakah al-bir dari sistem begini? Kita mesti letakkan asas al-bir ini untuk kepentingan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Asas ini dituntut oleh Allah, apakah ada di antara kita yang tidak inginkan kebaikan?

  • Asas kedua ialah TAQWA. Negara mestilah menjurus ke arah melahirkan pimpinan yang bertaqwa, agar rakyat yang kita urus bukan hanya selamat melalui al-bir (kebaikan sistem Negara) tetapi mestilah wujud elemen taqwa. Pemimpin mestilah bertaqwa kepada Allah. Asas al bir bersifat umum, tetapi asas taqwa bersifat khusus bagi pimpinan yang ingin menerajui kepimpinan Negara Perpaduan. Semua parti politik yang pimpinannya terdiri dari mereka yang menerima Allah sebagai Tuhan dan Nabi Muhammad sebagai Rasul hendaklah sedar bahawa kehidupannya tidak berakhir di dunia. Bagaimana kita ingin melahirkan rakyat yang baik, seandainya kita sendiri bergelumang dengan dosa dan maksiat. Kepimpinan gagal menjadi model bagi rakyat, isteri pimpinan menjadi elemen yang meruntuhkan akhlak dan jati diri bangsa. Hidup tanpa batasan agama dan kawalan wahyu. Negara yang baik lahir dari kepimpinan yang baik, dan taqwa adalah asas bagi semua kebaikan. Rakyat mestilah menyedari betapa Negara kini sangat-sangat memerlukan pemimpin yang bertaqwa bagi memandu Negara. Kami menawarkan asas yang Allah menyuruh kita berpegang; apakah ada panduan yang lebih baik dari panduan Ilahi?. Apakah parti-parti politik bersedia ke arah itu, dan seandainya tidak bersedia apakah alasan di hadapan Allah nanti di akhirat bila Allah meminta kita menjelaskan kenapa dan mengapa.

  • Asas ketiga ialah kita menyatakan bahawa kita tidak akan berkompromi dalam pembentukan kerajaan ini sebuah kerjasama ke arah derhaka kepada Allah. Konsep al-ism yang sangat luas menjadi sempadan pembinaan kerajaan perpaduan. Kita sebagai pimpinan mesti berusaha agar rakyat tidak terdedah kepada dosa dan maksiat. Kita perlu membina Negara yang soleh melalui pemimpin dan rakyat yang soleh. Kita mesti meletakkan asas utama agar semua elemen yang mendatangkan dosa bagi rakyat dihapuskan; kerana kebaikan tidak akan lahir dari maksiat dan munkar. Setelah lebih 50 tahun negara merdeka, pelbagai sistem yang mendedahkan dosa dipaksakan ke atas rakyat. Amalan riba yang berterusan, pusat-pusat maksiat diberi ruang yang luas oleh pemerintah, program maksiat mendapat tempat di hati rakyat sehingga lahirlah pelbagai gejala sosial, jenayah dan penyelewengan. Akibat negara yang tidak di asas kepada benteng kawalan yang menjadi syarat utama kebaikan bagi rakyat. Inilah syarat kami bahawa kami tidak akan berkompromi dengan perkara dosa dan durhaka kepada Allah yang diizinkan oleh pemimpin Negara Perpaduan. Apa makna perpaduan, kalau untuk durhaka kepada Allah, kerana tiada makna kemajuan dan perpaduan kalau ia dibentuk ke arah maksiat dan dosa.

  • Asas keempat yang dinyatakan oleh Allah ialah kami tidak akan berkerjasama ke arah permusuhan. Kita mesti menghentikan sebarang elemen perkauman sempit yang mendorong wujudnya jurang antara kaum di negara ini. Kecintaan kepada bangsa sendiri adalah fitrah manusia. Islam tidak menghalang setiap kaum menyintai kaumnya, tetapi Islam menentang tindakan zalim kepada kaum lain. Kerana kaum, bangsa dan warna kulit adalah ketentuan Allah, bukan pilihan manusia. Kerajaan Perpaduan tidak akan mengizinkan sebarang elemen ke arah permusuhan, samada di kalangan kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain. Pertembungan antara dalaman setiap kaum akan merugikan negara. Kita tidak akan membiarkan permusuhan antara orang Melayu sebagaimana kita tidak akan izinkan permusuhan sesama kaum India dan Cina. Ini asas kita. Tindakan mengapi-api permusuhan, elemen gengstarism dan kongsi gelap, gerakan anti perpaduan serta membiarkan jurang kaya dan miskin melampau, elemen penindasan dan kezaliman golongan kaya berpengaruh ke atas rakyat miskin dan tertindas akan menjurus ke arah permusuhan.

Saya ingin tegaskan bahawa inilah antara beberapa asas dalam kerajaan perpaduan. Andainya ada pihak yang menentangnya, apakah alasan kalau inilah yang digariskan oleh Allah dalam konsep al-taawun. Taawun sebagai satu gagasan, bukan hanya terikat dengan taawun fardiyyah; tetapi satu gagasan besar yang hebat dari Allah. Di samping asas tersebut, terdapat beberapa asas lain yang akan dijelaskan kemudian.

Wassalam.

TUAN IBRAHIM BIN TUAN MAN