______________________________________________________________________________

IKLANEKA RINGKAS@PKBC

BERITA BAIK UNTUK KAKI PANCING

Khidmat sewaan bot berenjin dan tanpa enjin
Di Sungai Belat Batu 3 Kuantan
Hubungi Tuan Haji Roslan (hj. Lan) 013-9454682.


KHIDMAT PENGIKLANAN RINGKAS DI RUANGAN INI
Untuk Maklumat Lanjut, Sila Hubungi Sdr. SUK Kawasan Kuantan.


Perlancaran Bulan Infaq Pas Pahang



______________________________________________________________________________

Thursday, April 30, 2009

Selsema Babi (Swine Flu)

Selsema Babi merupakan satu lagi bala dan ujian bagi masyarakat dunia hari ini selepas ditimpa krisis ekonomi. Selsema Babi yang diberikan kod H1N1 antara wabak berbahaya selepas dunia dilanda wabak selsema burung (H5N1) yang menyebabkan banyak kematian. Sekarang wabak ini menular sekitar Amerika Utara seperti Mexico, US dan Canada. Dan wabak H1N1 mula dikesan di negara-negara lain melalui mereka yang berada di negara-negara terbabit sekitar tiga minggu lepas.

Virus H1N1 boleh membawa kepada kesihatan yang teruk kepada manusia sehingga boleh menyebabkan kematian. Namun kadar kematian pada babi amat sedikit. Kenapa begini? Babi merupakan haiwan yang mempunyai antibodi yang boleh bermutasi dengan virus yang diterima oleh mereka. Oleh itu, babi bukan sahaja tahan lasak dari segi antibodi, tetapi mereka berupaya mengubah suatu virus kepada bentuk yang lebih berbahaya.

Bagi masyarakat, mereka pasti ingin tahu bagaimana virus ini bolehh tersebar dan mengjangikiti manusia. Berhubungan langsung dengan babi yang berpenyakit seperti pekerja ladang babi atau yang mengendalikan apa jua kaitan dengan daging babi yang tercemar dengan virus ini, mungkin boleh dijangkiti virus H1N1. Selain itu, cara yang lebih umum ialah melalui batuk atau bersin daripada seseorang yang telah dijangkiti selsema babi.

Apa pula simptomnya? Simptom utama ialah selsema atau hidung berair, sesuai dengan namanya, selsema atau flu. Antara simptom lain seperti demam, batuk, loya-loya, sakit tekak dan cirit birit. Namun, saya sendiri kurang pasti, bilakah simptom-simptom ini mula kelihatan pada pesakit tersebut. Bahkan, simptom-simpton tersebut amatlah umum seperti demam biasa.
Pihak kesihatan wajar mengkaji lebih teliti simptom khusus dalam mengenalpasti virus ini.

Dalam isu ini, babi tidak bersalah. Babi adalah makhluk yang diciptakan sebagai ujian kepada manusia. Namun Allah telah jelaskan pengharaman makan babi seperti termaktub dalam al-Quran. Larangan ini adalah ujian kepada manusia, kerana di sebalik larangan tersebut pasti ada hikmah.

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai dan darah dan daging babi dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu, maka tidaklah dia berdosa), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (an-Nahl: 115 )

Wabak penyakit merupakan bala dan ujian daripada Allah. Bala berbentuk wabak penyakit telah berlaku daripada zaman dahulu lagi seperti wabak taun. Maka, manusia perlu kembali kepada Tuhan Yang Maha Mencipta. Dialah yang mencipta penyakit, dan Dialah Yang Memberi Penawar.

“Dan Kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.” (Surah al-Isra’, 17: 82)

Menjauhi sesuatu yang dilarang oleh Allah merupakan suatu penawar, iaitu mencegah manusia daripada penyakit fizikal dan penyakit jiwa. Bukankah mencegah itu lebih baik daripada berubat.



admin : nampaknya tanda-tanda kecil akhir zaman telah muncul.

Wednesday, April 29, 2009

Dr Mansor Othman calon Pakatan Rakyat di Penanti

PERMATANG PAUH, 29 April (Hrkh)-Teka-teki siapa calon N12 Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti sudah terjawab apabila bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Negeri Pulau Pinang, Dr Mansor Othman diumumkan sebagai calon Pakatan Rakyat oleh Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim di Yayasan Aman, Penanti semalam.

Beliau di antara nama yang disebut-sebut sebelum ini untuk mengisi kekosongan kerusi Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang menggantikan Mohamad Fairus Khairudin yang meletakkan jawatan pada 19 Mac lepas.

Isu ini makin jelas apabila beliau dikatakan menolak jawatan Senator yang ingin diberikan kepadanya oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang semasa persidangan Dun minggu lalu.

Tuesday, April 28, 2009

JEMPUTAN KE MUKTAMAR DPPNP KALI KE 27















Dengan penuh hormat, saya menjemput semua sahabat-sahabat pemuda PAS negeri Pahang sama ada sebagai perwakilan dan pemerhati untuk sama-sama memeriahkan muktamar DPPNP kali ke 27.

Marilah sama-sama kita jadikan Muktamar DPPNP ini sebagai medan untuk merapatkan ukhuwwah, mengambil maklumat dari pimpinan, muhasabah kerja yang lalu, merancang gerak ke hadapan.

dipetik dari blog :
Ust. Suhaimi Saad
Pem. Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang.

Saturday, April 25, 2009

MB dan exco diminta letak jawatan, bubar Dun - PJ

Basiron Abdul Wahab
Fri Apr 24, 09 2:36:00 pm MYT

'Dari rentetan kes berkenaan, kata Tuan Ibrahim sudah memadai bagi sebuah kerajaan yang bermaruah untuk menyerahkan kembali mandat kepada rakyat bagi memilih kerajaan baru. '

TEMERLOH, 24 April (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man mahu Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakub dan barisan exconya melepaskan jawatan dan membubarkan Dewan Undangan Negeri Pahang (Dun).

Beliau berkata, pembubaran Dun perlu dibuat memandangkan barisan pimpinan kerajaan negeri gagal menunaikan amanah apabila melakukan kesilapan besar sehingga kerajaan negeri diarah membayar lebih RM60 juta kepada sebuah syarikat pembalakan Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd (SGMSB).

Selain itu anak syarikat kerajaan negeri yang telah disaman dan diarah membayar saman berjumlah RM30 juta kepada Agro bank.

Menurut Tuan Ibrahim, empat wakil rakyat tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan seorang Ahli Parlimen dari Paya Pesar didapati mengamalkan politik wang dan dihukum serta diberi amaran oleh Lembaga Displin Umno Febuari lalu.

Beliau berkata ketiga-tiga Adun berkenaan sepatutnya diarah melepaskan jawatan kerana bertanggung jawab di atas perbuatan mereka tetapi menteri besar dan barisan eksconya tidak berbuat apa-apa.

"Keempat-empatnya memang mempunyai kes jika tidak masakan Lembaga Displin Umno menjatuhkan hukuman terhadap mereka," katanya.

Dari rentetan kes berkenaan, kata Tuan Ibrahim sudah memadai bagi sebuah kerajaan yang bermaruah untuk menyerahkan kembali mandat kepada rakyat bagi memilih kerajaan baru.

Menjelaskan lebih lanjut isu berkaitan, beliau berkata, sikap tidak serius kerajaan dapat dilihat dalam kes saman SGMSB di mana kerajaan boleh mengelak daripada dikenakan tindakan iaitu menyelesaikan dengan segera sama ada melalui rundingan dan sebagainya.

Namun Menteri Besar tidak mengambil peluang itu, hingga keadaan menjadi sulit dan sukar dan jumlah tunggakan bayaran semakin meningkat.

Jumlah tuntutan SGMSB diputuskan oleh mahkamah pada 2005 hanya berjumlah RM37 juta sahaja tetapi kini telah meningkat RM63 juta. Begitu juga SGMSB mahu berunding dengan kerajaan negeri tetapi tidak pernah dilayan.

Malah difahamkan kerajaan negeri langsung tidak mengindahkan perbicaraan pada peringkat awal dahulu sehinggalah kes berkenaan dibawa ke mahkamah rayuan.

Kini kita lihat, kerajaan negeri semakin terdesak dengan perintah mandamos 20 April lalu tetapi Menteri Besar berusaha melengahkan pembayaran dengan membawa kes baru ke mahkamah.

"Apakah belum cukup bagi rakyat dan perdana menteri baru untuk menilai kerajaan dan barisan exconya," soal beliau ketika ditemui di pejabatnya. - mns_

sumber : harakahdaily.net

Thursday, April 23, 2009

Cadangan Kerajaan Perpaduan tidak berbangkit lagi

Khairul Azlam
Tue Apr 21, 09 3:12:22 pm MYT

PELBAGAI isu panas berlegar dalam masyarakat dan rakyat, amat memerlukan kupasan serta penjelasan oleh kepimpinan PAS. Jika tidak dirungkai akan berlaku kekusutan serta terbelit dalam kefahaman sesama sendiri. Justeru, wartawan Harakah Terengganu, KHAIRUL AZLAM MOHAMAD mewawancara Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di kediamannya, di Rusila, Marang baru-baru ini bagi mendapatkan pandangan berkenaan isu-isu yang melingkungi dalam dan luar parti.


HARAKAH: Dalam agenda membentuk 'Kerajaan Perpaduan' atau 'Government Unity', adakah PAS masih optimis untuk berunding bersama Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak bagi merealisasikan hasrat tersebut?

USTAZ ABDUL HADI: Saya melihat masih ramai yang tidak faham tentang 'Unity Government' termasuk orang PAS sendiri dan di kalangan pimpinan pun ada yang masih belum faham lagi. Ini kerana, mungkin mereka sibuk, tidak berpeluang membaca buku-buku politik dan tidak membaca istilah-istilah politik.

Dalam politik ada kerajaan yang sepenuhnya, ada yang disebut'Unity Government', ada 'Coalition Government' dan ada 'Front National'. 'Front National' itulah dia Barisan Nasional (BN) yang ada pembangkang. Kerajaan campuran ini adalah antara satu parti yang memerintah dengan parti yang lain diajak sama dalam pemerintah dengan syarat-syarat yang dibuat.

Di mana kebiasaannya dia (parti) terikat, partinya terikat dengan syarat-syarat bersama dengan kerajaan dan tidak banyak perubahan dibuat. Dan PAS berpengalaman dalam dua kerajaan iaitu Kerajaan Campuran (Perikatan) dan Kerajaan Barisan Nasional. 'Unity Government' bukan Kerajaan Campuran dan bukan Barisan Nasional. Itu kena faham. Ini kerana ada orang PAS sendiri faham masuk Barisan Nasional dan kerajaan campuran semula. Ini menandakan tidak faham 'Unity Government'.

Boleh Dato' Seri jelaskan apa yang dimaksudkan dengan 'Unity Government' ini?

'Unity Government' ini adalah Kerajaan Perpaduan yang melibatkan semua parti politik dan tidak ada pembangkang langsung. Semua parti duduk dalam kerajaan dan semua parti ini ada identiti, ada syakhsiyyah, ada kepelbagaian dan dia (parti) berhak untuk membangkang di mana 'Unity Government' ini membolehkan orang dalam Umno sendiri bangkang kerajaan.

Ini kita (PAS) memecahkan tradisi yang dibuat oleh Umno yang ada pada hari ini. Di mana orang Umno tidak boleh bangkang parti dia dan kalau bangkang dia akan kena pecat. Ini termasuklah, kita membebaskan Umno itu sendiri. Ini kena faham dan dalam masa yang sama 'Unity Government' ini mestilah melakukan perubahan yang adil untuk semua rakyat. Ini termasuklah untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), badan kehakiman, pentadbiran.

Boleh Dato' Seri kemukakan contoh-contoh apa yang dikatakan "Unity Government" yang dipakai di mana-mana?

Konsepnya mesti berubah dan bukan apa yang ada pada hari ini. Sebagai contoh, di Indonesia yang saya sebut tadi. 'Unity Government' di Indonesia berlaku pemisahan kuasa dengan 'SPR' atau Pemilu di Indonesia dengan badan politik. Pemisahan kuasa dengan badan kehakiman, sehingga badan kehakiman di Indonesia boleh menyeret Suharto ke mahkamah, boleh menyeret Perdana Menteri dan Menteri-menteri ke Mahkamah jika melakukan kesalahan. Ini kita (PAS) hendak bersihkan negara.

Di Israel sebagai contoh, Perdana Menteri Israel pun boleh dibawa ke mahkamah dan disiasat. Ini 'Unity Government' dan pilihan raya di Indonesia adalah pilihan raya yang berubah. Di mana Barisan Nasional tidak ada hak memonopoli TV termasuklah semua parti boleh menggunakan TV.
...


sumber : harakahdaily.net

Saturday, April 18, 2009

MB & Exco Haram Tetap Tidak Boleh Hadiri Sidang Dun.

Zambry dan enam Adun BN tidak boleh hadiri sidang Dun Perak

"Sebenarnya Zambry telah memohon sepuluh (10) perintah Mahkamah dan dari sepuluh perintah tersebut Mahkamah hanya membenarkan dua (2) perintah sahaja."

Mohamed Hanipa Maidin
Fri Apr 17, 09 10:14:14 pm MYT

Saya sedar ramai yang ingin tahu kesan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 April lalu yang memutuskan bahawa keputusan V.Sivakumar, Speaker Perak menggantung dan melarang Zambry dan enam Exconya hadir di Dun Perak selama 18 bulan dan 12 bulan adalah terbatal dan tak sah.

Ramai yang bertanya saya adakah keputusan tersebut bermakna Zambry dan enam exconya kini boleh menghadiri sidang Dun Perak?
Jika kita melihat kenyataan peguam Umno dan laporan akhbar pro-Umno seperti Utusan Malaysia (17.4.2009) mereka dengan tidak bertanggungjawab menyatakan bahawa Zambry dan enam exconya kini dibenarkan menghadiri sidang Dun Perak yang mungkin akan diadakan dalam masa terdekat.

Sebagai salah seorang peguam yang terlibat dalam kes tersebut, saya menasihati rakyat agar tidak terkeliru dengan kenyataan peguam Umno dan laporan akhbar Umno tersebut. Banyak yang mereka sembunyikan dan tidak jelaskan tentang apa yang sebenarnya berlaku di Mahkamah Persekutuan pada tarikh tersebut.


sumber harakah daily.net

Wednesday, April 8, 2009

Rakyat tolak politik kotor BN - Presiden.

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Wed Apr 08, 09 1:53:33 pm MYT

'Ternyata bahawa kegagalan Umno dan BN dalam pilihan raya umum yang lalu adalah bukan berpunca semata-mata dari kelemahan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi tetapi adalah suatu hakikat bahawa sememangnya parti Umno dan BN semakin lemah dan tidak mampu berhadapan dengan rakyat yang semakin celik di negara kita ini. '

Bersyukur kehadrat Allah SWT setelah kita semua bertungkus-lumus berusaha akhirnya dengan keizinan-Nya, Parti Islam SeMalaysia (PAS) dianugerahkan kemenangan dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang melalui calon parti, Dato' Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.

Sesungguhnya kemenangan ini adalah sangat bermakna buat PAS dan Pakatan Rakyat (PR) khasnya di Perak kerana ia membuktikan bahawa rakyat menolak sama sekali amalan kotor 'politik pintu belakang' yang direncanakan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) sehingga menjatuhkan kerajaan negeri yang dipilih dan diberikan mandat oleh rakyat dalam pilihanraya umum yang lalu.

Mudah-mudahan kemenangan ini akan menyedarkan semua pihak bahawa satu-satunya penyelesaian kepada konflik politik dan perlembagaan yang sedang dihadapi di negeri Perak Darul Ridzuan adalah dengan cara membubarkan Dewan Undangan Negeri dan seterusnya menyerahkan kembali mandat untuk diputuskan oleh rakyat dalam pilihan raya kerusi DUN di seluruh Perak.

Sehubungan dengan kemenangan ini juga saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua para petugas dan pekerja parti dari seluruh negara termasuklah rakan-rakan dari PKR dan DAP, pimpinan dan ahli Kelab Penyokong PAS, kelompok Media Baru, para NGO dan orang perseorangan yang telah bekerja tanpa jemu dalam menyumbang ke arah kemenangan ini. Mudah-mudahan segala pengorbanan dan kerja kuat itu akan dibalasi dengan ganjaran yang setimpal oleh Allah SWT.

Kemenangan ini juga adalah menunjukkan keberanian suara rakyat yang mempunyai harga diri dan tidak mampu digugat oleh janji dan ugutan dari jentera Umno dan BN yang terus menerus berselindung di sebalik jentera kerajaan. Kehadiran serta kempen Tun Dr Mahathir dan pimpinan baru Umno yang kononnya melaungkan nada baru dalam pilihan raya ini juga bukan sahaja tidak mendatangkan kesan, malah memburukkan lagi keadaan.

Ternyata bahawa kegagalan Umno dan BN dalam pilihan raya umum yang lalu adalah bukan berpunca semata-mata dari kelemahan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi tetapi adalah suatu hakikat bahawa sememangnya parti Umno dan BN semakin lemah dan tidak mampu berhadapan dengan rakyat yang semakin celik di negara kita ini.

BN hanya berjaya mempertahankan kerusi di Batang Ai dan di lain-lain tempat yang rakyat sememangnya dinafikan hak untuk mendapat maklumat sahaja.

Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan syabas dan tahniah kepada PKR kerana berjaya mempertahankan kerusi DUN Bukit Selambau melalui calonnya S.Manikumar. Sesungguhnya kemenangan ini memperkukuhkan lagi kedudukan Kerajaan PR Kedah pimpinan Dato' Seri Azizan Abdul Razak.

Kedua-dua kemenangan ini di samping kemenangan terdahulu di kerusi parlimen Permatang Pauh dan di kerusi parlimen Kuala Terengganu insya-Allah akan merubah lanskap politik tanahair dengan menempatkan PAS dan Pakatan Rakyat sebagi parti arus perdana baru yang disokong dan didokong oleh rakyat jelata. - mks. _

sumber : harakahdaily.net


admin : tahniah kepada petugas-petugas parti, khususnya petugas-petugas dari Pas Kawasan Kuantan, yang begitu bersungguh-sungguh memenangkan parti. Syukur kepada Allah S.W.T, kerana mengurniakan kemenangan kepada kita.

Friday, April 3, 2009

PM Malaysia Ke 6





admin - takziah buat rakyat malaysia...

Thursday, April 2, 2009

Pakatan Rakyat mohon YDP Agong tangguh pelantikan Najib

Harakahdaily
Thu Apr 02, 09 4:13:56 pm MYT

KUALA LUMPUR, 2 April (Hrkh) - Pakatan Rakyat memohon limpah restu Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin agar menangguhkan pelantikan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam, yang dijadualkan jam 10 pagi esok.

Dalam surat yang dihantar ke Istana Negara, Pakatan Rakyat memohon YDP Agong membuat penangguhan itu supaya beliau disiasat dan dibersihkan terlebih dahulu daripada pelbagai tuduhan yang dihadapkan kepada Timbalan Perdana Menteri.

Berikut disertakan surat yang dihantar ke Istana Negara:

28 Mac 2009 1 Rabiul Akhir 1430

Mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong

Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah

Yang bersemayam di atas takhta Kerajaan Malaysia dengan beberapa amat kebesaran dan kemuliaannya.


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Ampun Tuanku,

Dengan hormat dan takzimnya patik sekalian merafa'kan sembah dan berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala, mudah-mudahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kesejahteraan.

Ampun Tuanku,

MEMOHON PERKENAN UNTUK MENANGGUHKAN LANTIKAN PERDANA MENTERI BARU SEHINGGA NAMA BELIAU DIBERSIHKAN OLEH SURUHANJAYA BEBAS

Patik sekalian mewakili semua 81 Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dengan penuh takzim ingin merafa' sembah mengenai rancangan YAB Perdana Menteri untuk mengadap Seri Paduka Baginda pada 2 April ini bagi menyatakan hasrat meletakkan jawatan dan menyerahkan jawatan beliau kepada YAB Timbalan Perdana Menteri yang merupakan Presiden Umno yang baru.

Ampun Tuanku,



sumber : harakahdaily.net

PAS bimbang Malaysia diketuai pemimpin tak berkualiti.

Media asing termasuk Liberation yang berpangkalan di Perancis sebelum ini mengaitkan Najib dengan model Mongolia yang mati dibunuh dengan kejam di negara ini.

Salmah Mat Husain
Thu Apr 02, 09 6:54:50 pm MYT

KOTA BHARU, 2 April (Hrkh)
- PAS bimbang negara ini akan diketuai seorang pemimpin yang tidak berkualiti apabila banyak tuduhan yang dipalit terhadapnya gagal dijelaskan kepada umum.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, bakal perdana menteri baru perlu membersihkan diri terlebih dahulu terhadap segala tomohan yang dilemparkan kepadanya sebelum ini.

"Saya menyebut perkara lama, selagi tuduhan atau tomahan yang dilemparkan terhadap bakal perdana menteri yang akan mengambil alih kepimpinan negara esok belum dibersihkan, saya begitu dukacita dan kecewa sekali.

Nampak sangat pemimpin negara kita tidak berkualiti menjadi pemimpin negara," katanya ketika diminta pandangannya terhadap Dato' Seri Najib Razak yang akan mengambil alih teraju negara esok.

Menurutnya juga orang yang paling berkualiti sekali di dunia ini ialah Nabi Muhammad saw yang bersifat al-amin.

Katanya, sifat berkenaan tidak boleh dibuat-buat, sebaliknya ia merupakan tabiat semulajadi yang ada kepada baginda sejak kecil lagi.

"Sekiranya tuduhan yang dilemparkan secara terbuka belum lagi diperjelaskan, bagaimana rakyat dapat menerimanya.

"Nak harapkan amanah tu bolehlah.. tetapi nak harap amanah pada tebuan, tebuan dengan lebah serupa saja" ujarnya.



sumber : harakahdaily.net