______________________________________________________________________________

IKLANEKA RINGKAS@PKBC

BERITA BAIK UNTUK KAKI PANCING

Khidmat sewaan bot berenjin dan tanpa enjin
Di Sungai Belat Batu 3 Kuantan
Hubungi Tuan Haji Roslan (hj. Lan) 013-9454682.


KHIDMAT PENGIKLANAN RINGKAS DI RUANGAN INI
Untuk Maklumat Lanjut, Sila Hubungi Sdr. SUK Kawasan Kuantan.


Perlancaran Bulan Infaq Pas Pahang



______________________________________________________________________________

Thursday, October 29, 2009

Keputusan Mesyuarat Khas - Tiada EGM.

PAS adakan seminar ganti muktamar khas

Zulkifli Sulong
Thu Oct 29, 09 1:36:34 am MYT

KUALA LUMPUR, 29 Okt: PAS akan mengadakan satu seminar khas bagi membincangkan halatuju parti itu bagi menggantikann muktamar khas yang dicadangkan oleh Mursyidul Amnya.
Seminar yang bakal disertai oleh lebih 1000 perwakilan dari seluruh negara itu akan diadakan 7 Disember ini di Dewan Datuk Fadzil Noor, Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Kuala Lumpur.

Antara yang akan dijemput memberikan pandangan nanti adalah Profesor Dr Abdul Aziz Bari.

Demikian beritahu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya jam 1.00 pagi tadi.

Sidang media itu diadakan selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Pusat yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Selain itu, mesyuarat khas itu juga mengambil ketetapan agar Lembaga Disiplin PAS yang dipimpin oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyiasat semua dakwaan terhadap PAS Selangor.

Lembaga ini akan mencadangkan tindakan disiplin kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah melanggar disiplin parti.

Dalam sidang media itu juga, Abdul Hadi memaklumkan, isu Kerajaan Perpaduan ditutup sepenuhnya dan tidak akan berbangkit lagi.

Turut serta dalam sidang media selepas mesyuarat berjalan mulai jam 9.00 malam hingga 1.00 pagi itu adalah Naib Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahudin Ayub, Mahfuz Omar dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali serta Ketua Pemuda, Nasrudin Hassan Tantawi.


admin : antara keputusan mesyuarat yang diperseujui bersama :-

1] Perkukuhkan Pakatan Rakyat. Semua pimpinan dan ahli PAS diminta beriltizam untuk untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat. Satu seminar khas mengenai pengukuhan Pakatan rakyat akan dilangsungkan. Penulis merasakan seminar itu adalah seminar yang sama yang akan dijalankan pada bulan Disember nanti.

2] Satu lembaga displin dibentuk dengan diketuai oleh Naib Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man bagi menangani isu-isu displin yang sedang berlaku di Negari selangor.

3] Isu Unity Government atau Kerajaan Perpaduan sudah tidak berbangkit lagi. Tiada lagi kerajaan perpaduan selepas ini.



Tuesday, October 27, 2009

PAS Pahang desak selidik laporan seleweng petrol

Hashim Abdullah
Mon Oct 26, 09 6:38:04 pm MYT

TEMERLOH, 26 Okt: PAS Pahang memandang serius Laporan Ketua Audit Negara berkaitan keraguan penggunaan minyak petrol oleh kenderaan kerajaan negeri di bawah seliaan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam menjawab pertanyaan wartawan pada sidang media di pejabatnya semalam mahukan kerajaan Umno BN Pahang melakukan siasatan terbuka dan telus bagi mendedahkan penyelewengan yang berlaku.

"Kerajaan Pahang perlu mendedahkan penyelewengan dan membersihkan kerajaan dalam kenyataan yang mengaibkan oleh laporan tersebut," katanya.

Tuan Ibrahim yang juga Naib Presiden PAS menuntut kerajaan Pahang tidak melindungi sebarang penyelewengan dan salah laku mana-mana pihak dalam usaha menjaga harta rakyat.

"Kerajaan seharusnya tidak cuba melindungi sebarang penyelewengan dan salah laku mana-mana pihak bagi kebaikan dan penjagaaan harta rakyat. PAS mengesa agar pendakwaan dibuat sekiranya terdapat salah laku dan penyelewengan sebagaimana yang dilapor.

"Tindakan lima buah kenderaan rasmi sebagaimana yang didakwa mendedahkan kepada tanggapan umum bahawa pihak kerajaan melindungi pihak yang melakukan penyelewengan.

"PAS Pahang melihat teguran yang dibuat Ketua Audit Negara seolah-olah tidak diambil tindakan oleh kerajaan sebagaimana teguran-teguran sebelumnya.

"Akibatnya rakyat menanggung kerugian akibat daripada penyelewengan. Begitu juga dengan unsur penyelewengan pembinaan Hospital Pekan yang bernilai RM 81.59 juta memerlukan siasatan secara telus dan tindakan mesti diambil kepada pihak yang terlibat,"katanya. _

PAS panggil mesyuarat khas JK Rabu ini

Harakahdaily
Mon Oct 26, 09 12:16:46 pm MYT

KEMASKINI: KUALA LUMPUR, 26 Okt: PAS akan memanggil satu mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat Rabu ini bagi membincangkan cadangan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar diadakan satu mesyuarat agung luar biasa.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam sidang medianya berkata, mesyuarat itu akan diadakan jam 8.30 malam, Rabu ini di Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini.

"Mesyuarat insyaAllah akan diadakan pada 28 haribulan ini, hari Rabu malam," katanya.

Surat jemputan untuk mesyuarat ini akan dikeluarkan segera oleh beliau.

Mustafa berkata, beliau mendapat arahan dari Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang agar memanggil mesyuarat khas itu.

"Beliau (presiden) telah mengarahkan saya supaya mencari satu tarikh yang sesuai untuk mengadakan mesyuarat khas jawatankuasa pusat dalam waktu terdekat," katanya lagi.

Mesyuarat ini yang akan dihadiri oleh pimpinan pas pusat dan pesuruhjaya setiap negeri itu katanya, akan membuat keputusan tindakan yang akan dibuat selepas ini.

"Jadi apa-apa yang berkait kita akan bincang dalam mesyuarat pusat nanti," katanya.

Nik Aziz akan hadir sebagai pesuruhjaya Kelantan dan jemputan khas bagi membolehkan ahli mesyuarat mendengar sendiri penjelasan beliau berhubung cadangan dalam blognya agar diadakan satu muktamar agung khas.

Menjawab soalan pemberita mengenai cadangan mengadakan muktamar khas, beliau berkata mengikut perlembagaan PAS, mesyuarat agung luar biasa hanya boleh diadakan mengikut tiga cara.

Ia boleh dilakukan apabila ada arahan daripada presiden parti, ada permintaan bersurat satu pertiga daripada ahli jawatankuasa pusat, atau permintaan bertulis satu pertiga daripada PAS kawasan-kawasan.

Semalam, Naib Presiden, Salahuddin Ayub selepas mengadakan pertemuan dengan Nik Aziz di Kota Bharu memberitahu, mesyuarat agung luar biasa tidak akan diadakan kerana Nik Aziz sendiri mencadangkan ianya ditukar kepada mesyuarat khas.

Ditanya sama ada cadangan Nik Aziz itu berkait dengan beberapa pemimpin yang dikatakan pro kerajaan perpaduan, beliau berkata isu itu tidak lagi berbangkit kerana ianya telah diputuskan dalam muktamar Jun lalu.

"Saya pernah buat kenyataan dulu, masalah kerjasama dengan Umno sudah tutup buku. Ia satu keputusan yang dibuat oleh pimpinan dalam muktamar sendiri," katanya

Monday, October 26, 2009

Doa

"Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui bahawa hati-hati ini, telah berkumpul kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhi perintahMu, bersatu memikul beban dakwahMu. Hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulatkan syariat Mu. Maka eratkanlah Ya Allah akan ikantannya.

Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini akan jalanNya yang sebenar.
Penuhkanlah piala hati ini dengan cahaya RabbaniMu yang tidak kunjung malap. Lapangkalan hati-hati ini dengan limpahan iman / keyakinan
dan keindahan tawakkal kepadaMu. Hidup suburkan hati-hati ini dengan ma'rifat pengetahuan sebenar tentangMu....

Jika Engkau mentaqdirkan mati, maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agamaMu.

Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong.
Ya Allah perkenanlah permintaan ini."




Kenyataan Penuh TG Presiden

"Isu Dalaman Parti Islam SeMalaysia (PAS)"

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

PAS adalah merupakan sebuah organisasi siyasah, dakwah dan tarbiyah yang ditubuhkan sejak dari tahun 1951 dan pernah berhadapan dengan suasana yang lebih getir dalam lipatan sejarah perjuangannya.

Semuanya berjaya dihadapi dan terus menerus mematangkan organisasi parti sehinggalah PAS mencapai kedudukan yang ada pada masa kini.

Sehubungan dengan itu, saya meminta seluruh ahli dan kepimpinan PAS di pelbagai peringkat untuk bersabar dan bertenang dalam menghadapi persoalan dalaman parti pada waktu ini.

Persoalan yang timbul ini tidak akan dapat diselesaikan menerusi penggunaan media massa dan media baru.

Ianya perlu diselesaikan secara musyawarah dengan berpegang kepada budaya dan panduan yang menjadi pegangan PAS, sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaannya.

Saya juga sudah mengarahkan Datuk Setiausaha Agung PAS untuk menentukan tarikh yang sesuai di waktu terdekat ini untuk diadakan satu mesyuarat bagi membincangkan persoalan yang timbul ini.

Kita berdoa agar Allah SWT senantiasa memberikan taufik dan hidayah Nya kepada kita semua dalam usaha untuk merungkai permasalahan ini dan seterusnya memperkukuhkan parti.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)
6 Zulkaedah 1430 H bersamaan 25 Oktober 2009

Pandangan Dr. Abdul Aziz Dihargai - PJ

Ulasan Dr Aziz Bari berhubung kekalahan PAS di Bagan Pinang adalah sebahagian daripada komentar ahli akademik yang perlu diberi perhatian, sebagaimana kita memberi perhatian kepada pandangan lain yang berada di luar kotak politik. Oleh kerana bidang politik bukan milik ahli politik sahaja, maka semua pandangan boleh diberi; walaupun tentulah agak berbeza mereka yang berada dalam gelanggang dengan yang berada di luar gelanggang. Perbezaan tersebut merupakan lumrah penilaian. Saya menghormati pandangan beliau sebagai ahli akademik, yang melihat dari sudutnya yang tersendiri. Walaupun saya sendiri mempunyai pandangan yang berbeza kerana mungkin saya berada dalam gelanggang dan sebahagian dari kepimpinan parti.

Ada beberapa perkara yang mungkin tiada dalam maklumat beliau menyebabkan pandangan yang diberi agak bersifat kritis. Beliau mencadangkan agar parti mendisiplinkan Hassan Ali atau menyingkirkan terus, kemudian beliau menyatakan bahawa ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hassan dilihat mewakili golongan yang pro umno dalam PAS seperti Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Nasaruddin Mat Isa dan penyokong mereka. Saya ingin tegaskan ini pandangan beliau dalam posisinya sebagai ahli akademik. Tentulah banyak perkara dalaman yang dibincang dan dihalusi dalaman parti tiada dalam pengetahuannya.

Isu berlaku di Selangor bukan sahaja pertembungan untuk menarik sokongan, Bagi PAS isu utama bagaimana kita sebagai pemimpin yang akan bertanggungjawab terhadap rakyat dari dunia sampai akhirat. Kita memerlukan rakyat yang bermoral. Masyarakat menilai kita yang mewakili suara Islam dalam kerajaan. Apa tindakan kita untuk membina rakyat yang bermoral. Dr Hassan sebagai exco agama akan ditempelak tidak melakukan apa-apa bagi membela umat Islam, dalam isu arak. Tindakan beliau dengan dokongan Badan Perhubungan Negeri dan dibincang dalam exco kerajaan, bukan membuat peraturan baru, hanya sekadar melaksanakan enakmen yang sedia ada, yang tidak dikuatkuasakan selama ini.

Dalam keghairahan kita menjaga hati pengundi bukan Islam, jangan kita lupa bahawa pengundi Islam ingin melihat pembelaan kepada dasar Islam. Kita mengambil jalan tengah dengan tidak mengganggu golongan bukan Islam untuk mendapatkan minuman keras, cuma kita meminta agar penjualannya di kawasan majoriti umat Islam dihapuskan.

Mungkin Dr Aziz Bari melihat bahawa Dr Hassan Ali tidak perlu membuat kenyataan terbuka, sehingga dilihat wujudnya pertembungan antara PR. Saya ingn tegaskan bahawa isu ini telah dibincang dan beberapa kenyataan telah dikeluarkan dalam media berhubung perkara ini. Tetapi atas kedudukannya sebagai exco kerajaan yang menjaga agama dan Pesuruhjaya Negeri, saya fikir beliau juga mempunyai kekangan bila diajukan persoalan oleh pemberita, dan masyakakat juga ingin mendengar kenyataannya sebagai exco agama. Yang lebih adil ialah mendapatkan penjelasan sebenar terhadap kenyataannya, bukan hanya melalui media perdana yang tentunya lebih suka melihat pertembungan dalam PR, serta melihat juga pendirian Badan Perhubungan Negeri yang merupakan badan tertinggi parti di peringkat negeri.

Saya melihat kenyataan kontroversi bukan sahaja dari kalangan PAS, bahkan kenyataan serupa berlaku di Kedah oleh pimpinan DAP berhubung isu pusat penyembelihan, kouta perumahan, dan lainnya. Kita melihat perbezaan dalam PR adalah sikap keterbukaan kita, dan ternyata dalam beberapa pertemuan pimpinan PR, hubungan antara kita sangat kukuh, mesyuarat dwi bulanan PR merupakan medan penting bagi pengukuhan ini.

Walau bagaimanapun pandangan Dr Aziz Bari bahawa agak sukar untuk dilakukan kerana beliau ( Dr Hassan Ali) dilihat mewakili golongan yang pro Umno. Kenyataan ini tentunya agak keterlaluan, kerana Jawatankuasa Disiplin parti tidak sesekali terikat dengan apa yang disangka oleh beliau. Kita mempunyai rujukan peraturan dan tindakan. Jawatankuasa Disiplin sehingga kini menerima saranan daripada PR agar semua kepimpinan parti terikat dengan peraturan parti masing-masing, tetapi menegaskan agar tiada kenyataan yang boleh menimbulkan keretakan dalam Pakatan.

Sehingga kini Jawatankuasa Disiplin PAS tidak menerima apa-apa surat rasmi berhubung perkara tersebut. Namun perlu dinyatakan bahawa PR dalam mesyuarat lalu telah memanggil sama semua exco Selangor bagi mendengar permasalahannya, dan mesyuarat Harian Pusat juga telah mengundang Harian Selangor bagi mendengar permasalahan yang berlaku, dan telah membuat ingatan agar semua kenyataan yang boleh megeruhkan suasana dalam PR dielakkan, bahkan sebarang perkara yang mempunyai perbezaan pandangan dapat diselesaikan dalam mesyuarat exco dan parti masing-masing.

Jelas ianya tiada kena mengena dengan pro Umno atau sebaliknya. Kita telah gagaskan kenyataan bahawa kita perlu perkukuhkan PR. Ini gagasan bersama yang telah kita lakukan. Tetapi ianya bukanlah bermakna kita tidak boleh berbeza pandangan dalam berhadapan pelbagai isu yang berlaku. Bahkan saya ingatkan bersama bahawa sejarah perjuangan Islam dan sunnatulLah dalam jamaah Islam, sesiapa yang khianat dalam perjuangan ia akan gugur dari jamaah, samada Allah akan mendedahkan keburukan mereka atau jamaah akan menggugurkannya.

Antaranya beliau (Dr Aziz Bari ) memetik pandangan yang menyatakan Presiden tidak memberi respon terhadap apa yang berlaku di Selangor. Akibatnya pelbagai tuduhan yang menyamakan beliau dengan bekas presiden UMNO dan lainnya. Sedangkan realitinya beliau telahpun memberikan respon kepada apa yang berlaku, bahkan sebelumnya Timbalan Presiden telah membuat kenyataan akhbar tentang isu tersebut. Presiden berulang kali menyatakannya dalam pelbagai pertemuan parti, Cuma kita harus ingat bahawa media arus perdana tidak menyiarkan kenyataan beliau, sebagaimana mereka menyiarkan berita yang mengambarkan keretakan dalam PR. Namun Dr Aziz Bari ternyata tidak seronok dengan kenyataan dari Timbalan Presiden yang dilihat membela Hassan Ali. Dalam situasi yang ada apa jua kenyataan tentulah akan ada yang setuju dan sebaliknya. Yang tentunya kita tidak boleh minta agar semua kenyataan sesuai dengan kehendak kita.

Namun saya melihat pandangan beliau agak tersasar dari tajuk utama kerana apakah kerana kita tewas dalam satu PRK maka perubahan kepimpinan perlu dilakukan. Bagaimana dengan kemenagan sebelum ini, apakah ia tidak dilihat kejayaan kepimpinan yang ada? Mari kita kembali kepada peringatan Allah : “Boleh jadi apa yang kamu tidak suka, ianya baik bagi kamu, dan apa yang kamu suka ianya tidak baik bagi kamu, sesungguhnya Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahuinya”.

PAS : Keperluan Muktamar Khas Luarbiasa? - TGNA

Latarbelakang:

Jarang sekali hati saya menjadi tidak sedap sepanjang melibatkan diri dalam kepimpinan Islam. Hati saya pernah bergolak dizaman bekas Presiden PAS yang mahsyur iaitu di zaman Allahyarham Dato’ Haji Mohamad Asri. Di peringkat itu, saya terpaksa bersuara dan menunjukkan sikap saya yang ada sebahagiannya dirakamkan melalui buku saya yang berjodol “kemuncup dalam perjuangan.” Di waktu itu, saya masih ingat betapa sukarnya saya untuk memilih antara menegur atau mendiamkan diri. Namun, setelah teringat bahawa Nabi SAW juga pernah ditegur oleh Allah SWT, maka, saya memutuskan untuk berdiri dengan santun dan saya pun katalah jua apa yang munasabah untuk dikata. Saya memilih untuk mengambil sikap ini berasaskan adanya hujah nas yang memboleh, bahkan dalam keadaan-keadaan tertentu bersifat wajib untuk berbuat demikian. Sampai ke hari inipun saya masih berpegang dengan pendirian ini.


Untuk lebih terpimpin, mari kita terlebih dahulu perhatikan tiga petikan surah dan latar peristiwa disekitar tiga kisah ini. Ia ada dirakamkan didalam kitab suci al-Quran.


i). Dalam peristiwa Badar setelah perang berakhir yang memberi kemenangan kepada tentera Islam, terdapat sejumlah 70 tawanan perang. Apabila Nabi SAW membuka perbincangan, apa yang patut dibuat dengan tawanan-tawanan perang ini, Saidina Umar berpandangan, mereka semua perlu dibunuh manakala Sadina Abu Bakar pula berpendapat lebih baik mereka dibenarkan bebas setelah diambil wang tebusan.


Ditakdirkan Allah, keputusan yang ada dilangit adalah selaras dengan syur yang dikemukakan oleh Saidina Umar. Ia berbunyi:

“Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawiah sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untuk mu) dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari Allah, nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil.” (Surah Al-Anfaal Ayat 67 – 68)


Dari sini, jelas bahawa tidak ada sesuatu yang pelik dalam tradisi menegur pemimpin didalam Islam.

ii). Peristiwa kedua ialah sewaktu Nabi S.A.W. bersumpah tidak akan meminum sejenis madu dari bunga tertentu kerana menerima teguran dari salah seorang dari isteri baginda S.A.W. sewaktu berada di rumah salah seorang isterinya. Dalam peristiwa ini, sekali lagi Nabi S.A.W. di tegur dengan lafaz berbunyi:

“ Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagi mu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isteri mu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah At-Tahriim Ayat 1)

iii). Dalam surah ‘Abasa, sekali lagi kita dapat saksikan teguran Allah S.W.T. ke atas Nabi S.A.W. yang dilihat tidak memberikan layanan kepada seorang buta ketika Baginda didatangi oleh pemimpin Quraish yang turut berada di dalam majlis yang sama pada waktu itu. Teguran Allah S.W.T. berbunyi:

“ Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manafaat kepadanya. Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya.” (Surah ‘Abasa Ayat 1 – 6)

Apa isunya?

Isu yang ada di hadapan kita sekarang ialah isu kepimpinan. Biar saya mulakan begini. Saya boleh bersetuju dengan sebahagian dari tulisan Dr. Aziz Bari yang ada tersiar dalam akhbar Sinar Harian pada 19 Okt. 2009 di mukasurat N16. Antara lain, beliau mengemukakan teguran dan saranan seperti berikut :

“Dalam konteks sekarang Pakatan perlu dibenarkan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan supaya kita dapat membezakan kelainan mereka melaksanakan Perlembagaan.”

“Fungsi Dewan memantau kerajaan. Dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan kerajaan pada hakikatnya dimiliki Dewan.”

“Dengan itu mungkin sudah sampai masanya Pas membuat langkah drastik, sama ada mendisiplinkan Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali atau menyingkirkannya terus.”

“Bagaimanapun, ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hasan dilihat mewakili golongan yang pro-Umno dalam PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokong mereka.”

“Dalam kekecohan di Selangor Abdul Hadi membisu sehingga di dalam parti sudah ada yang berkata bahawa Abdul Hadi adalah watak bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam PAS. Sementara itu Nasharuddin membela tindakan Hasan itu secara terbuka.”

“Saya fikir ada beberapa tokoh tertentu dalam PAS yang boleh merubah keadaan. Beberapa bulan kebelakangan ini imej dan kemampuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak agak menonjol dan kelihatannya beliau mempunyai kemampuan untuk memimpin parti.”

“Saya tertarik dengan kelicikan Azizan menyiku Azman Shapawi, Naib Ketua Pemuda PAS dalam isu penjualan arak beberapa bulan lalu. Dalam pada itu organisasi PAS di Kedah dikatakan lebih baik daripada apa yang ada di Terengganu.”

“Buat masa ini, hanya 32 peratus pengundi yang yakin dengan kemampuan Pakatan. Jika PAS kekal dengan kapten yang ada ini (sokongan) mungkin akan berkurangan.”


Pandangan Saya
Atas pandangan inilah saya berfikir dan terus berfikir. Setelah berfikir sambil berdoa, maka saya berpuashati untuk mengatakan begini :
Kalau Umno boleh buat sesuatu dengan mengadakan Mesyuarat Agong Khas dan MCA pun boleh mengadakan EGMnya sehingga sempat menggugurkan Presiden dan Timbalan Presidennya. Demikian juga dengan PKR yang telah membuat pindaan Perlembagaannya melalui Kongres Khas mereka. Maka kita?

Walaupun isu MCA benda lain, iaitu rasuah, kita lagilah tidak payah khuatir untuk adakan Muktamar Khas kerana kita bukan membawa isu rasuah . Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah. Masyarakat India pun boleh menentang Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain. Maka pelik apa, kita panggil mesyuarat parti yang tergempar misalnya; mungkin dipanggil muktamar khaslah. Kalau nak kirakan, kitalah yang sepatut buat dulu. Demi “tajdid” kita perlu buat Mesyuarat Agong Luarbiasa ini. Bila Mesyuarat Agong tak mahu tukar Presiden, misalnya maka tidak mengapalah. Kita pakat-pakat belalah. Begitu juga dengan isu-isu disekitar Hassan Ali atau Mustafa Ali yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan Perpaduan atau UG. Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan. Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ni?

Tidak boleh jadi ni, kita duk “ghok-ghak” (kacau) begini. Orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khaslah; senang cerita. Biar tentu sah, nak ikut yang mana. Kita nak kekal yang mana dan buang yang mana. Dengan Muktamar Khas yang boleh menjelaskan dan memutuskan banyak perkara ini, puak-puak atas pagar yang membuat swing votes dan mempengaruhi keputusan pilihanraya juga akan berpuas hati samada nak swing atau tak nak swing lagi kerana mereka sudah dijelaskan oleh keputusan Muktamar Khas berkenaan. Mereka jelas.

Biarlah kita ambil mandat baru sekali lagi. Mesyuarat biar ringkas;ambil sehari penuh atau dua hari penuh misalnya tetapi prosesnya mesti ringkas, dan keputusannya adil, telus, tepat, terus dan jelas. Undi perlulah sulit dan dilakukan di atas kertas .
Untuk kali ini, saya dengan kuat merasakan bahawa perlu ada perubahan dalam pemain-pemain penting yang menduduki kerusi kepimpinan PAS diperingkat pusat. Kalau nak kata ini persiapan ke arah PRU ke 13 pun, kata gi lah. Dan memang betul begitulah.


Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS/Menteri Besar Kelantan
Bertarikh : 02 Zulkaedah 1430 / 21 Okt. 2009


sumber : blogtokguru.com

Friday, October 16, 2009

Sambutan Hari Raya & Rumah Terbuka Pas Kawasan Kuantan.



YDP dan AJK Pas Kawasan Kuantan, dengan berbesar hati
menjemput semua masyarakat di sekitar Kuantan,
tidak mengira bangsa dan agama
untuk hadir ke


Majlis Jamuan Hari Raya & Rumah Terbuka
Pas Kawasan Kuantan
serta meraikan para petugas Pilihanraya PRK Bagan Pinang
pada 18 oktober (ahad)
jam 11.00 pagi - 2.00 petang
bertempat di Markaz Pas Kuantan Taman Guru
Batu 5 Jalan Gambang.


Semua di alu-alukan untuk hadir memeriahkan lagi majlis ini.

Pahang diminta segera bayar saman, elak bebankan rakyat

Hazayani Zakaria
Fri Oct 16, 09 2:06:13 pm MYT


KUALA LUMPUR, 16 Okt: Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man meminta kerajaan Pahang membayar segera saman berjumlah RM65 juta kepada syarikat pembalakan Seruan Gemilang Makmur (SGM) bagi mengelakkan wang rakyat terus dikorbankan.

Beliau berkata, sikap kerajaan yang melengah-lengahkan bayaran saman tersebut sejak sekian lama akan mendatangkan lebih banyak masalah kerana faedah sebanyak RM8, 000 sehari terus berjalan seperti yang diputuskan mahkamah.

"Saya harap kerajaan negeri menyelesaikan kes ini dengan menjelaskan hutang yang tertangguh kerana jika kerajaan lambat memjelaskannya, kadar interest (faedah) sebanyak RM8, 000 terus berjalan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Mahkamah Rayuan Putrajaya minggu lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 2007 yang mengarahkan kerajaan negeri membayar saman kepada SGM kerana melanggar perjanjian pemberian konsesi pembalakan di kawasan seluas 4,000 hektar di Mukim Bebar, Pekan.

Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 mengeluarkan satu perintah kepada kerajaan negeri supaya membayar ganti rugi berjumlah RM37, 127, 471.60 kepada SGM dengan kadar faedah 8 peratus setahun mulai Disember 2000 (jumlah keseluruhan RM60juta).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob bagaimanapun memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi bagi menangguhkan keputusan mahkamah itu namun gagal dalam rayuannya.

Sehingga 7 April 2008, pihak defendan (Adnan dan kerajaan negeri) gagal membuat sebarang bayaran ataupun menghubungi SGM menyebabkan kedua-duanya dianggap melanggar dan menghina keputusan mahkamah.

Seterusnya pada 20 April 2008 Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah mandamus (perintah akur bayar) terhadap Adnan dan kerajaan negeri bagi melunaskan bayaran RM63 juta kepada SGM dalam tempoh 14 hari mulai dari tarikh itu.

Adnan sekali lagi memohon mengenepikan kes melalui Mahkamah Rayuan dan beliau dilepaskan dari membayar hutang tersebut.

Hutang sebenar kerajaan negeri sekarang sudah menghampiri RM65juta kerana faedah sebanyak RM8, 000 sehari terus berjalan.

Menurut Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, meskipun mahkamah rayuan melepaskan Adnan daripada membayar hutang tersebut, namun kerajaan negeri tetap terpaksa membayarnya.

Ujarnya, keputusan mahkamah itu juga hanya untuk membersihkan nama Adnan sedangkan kerajaan negeri terus terbeban dengan hutang yang semakin meningkat sekaligus menyebabkan rakyat turut merasai tempiasnya.

"Keputusan mahkamah itu bersifat teknikal sahaja untuk membersihkan nama Adnan sedangkan kerajaan negeri tetap mengagung hutang," katanya.

Beliau juga mendakwa, akibat penyelewengan dan rasuah yang dilakukan kerajaan Umno BN menyebabkan wang rakyat terpaksa digunakan untuk menyelesaikan bebanan hutang.

"Disebabkan penyelewengan dan salahguna kuasa kerajaan negeri, rakyat yang terpaksa menanggung kerugian. Ini tak sepatutnya berlaku," tegasnya._

BAGAN PINANG: Kenyataan Media Presiden PAS

Presiden PAS
Wed Oct 14, 09 11:02:44 am MYT


Keputusan Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang telah sama-sama kita ketahui, di mana Barisan Nasisonal (BN) telah mengekalkan kemenangan yang telah diperolehi oleh mereka menerusi Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu.

Serentak dengan itu, pelbagai pihak telah memberikan analisa, ulasan, komen dan cadangan masing-masing terhadap keputusan pilihanraya kecil tersebut.

Apa yang pasti ialah Parti Islam SeMalaysia (PAS) akan melakukan post-mortem bagi meneliti pelbagai aspek 'politik tempatan dan nasional' untuk menentukan punca sebenar kegagalan PAS memenangi kerusi DUN Bagan Pinang dari tangan BN.

Kepimpinan parti tentunya akan mengambil langkah strategik yang bersesuaian tanpa mengorbankan prinsip perjuangan parti dalam melaksanakan penambahbaikan.

Sementara itu saya meminta semua ahli di pelbagai peringkat dalam PAS supaya tidak menuding jari dan menyalahkan sesiapa sebelum punca sebenar ini dapat dikenalpasti.

Dalam suasana keriuhan kegagalan kita memenangi kerusi DUN Bagan Pinang ini, semua ahli PAS diminta bertenang dan tidak keliru dengan status-quo kemenangan BN yang dirayakan oleh mereka.

PAS menyedari bahawa semua pihak menaruh harapan yang tinggi untuk mengambil kerusi DUN Bagan Pinang dari milikan BN.

Hakikatnya ialah kita menyertai pilihanraya ini dengan penuh maklumat bahawa ianya merupakan satu tugas yang mencabar dan penuh dengan insiden provokasi oleh pihak lawan.

Walauapapun, PAS ingin menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pengundi yang masih memilih PAS, para petugas parti yang datang dari segenap pelusuk tanahair dan berkampung di DUN Bagan Pinang, orang perseorangan dari pelbagai rumpun bangsa yang datang memberikan tenaga dan sokongan serta semua pihak yang telah berusaha bersama-sama dengan jentera parti dalam berhadapan dengan pilihanraya kecil ini.


Presiden PAS


Tuan Guru Presiden sedang berada di Syria dan beliau menghubungi Dr Ahmad Samsuri selaku Setiausaha Politik Presiden PAS untuk kenyataan media ini _

sumber : harakahdaily.net


BAGAN PINANG: Kenyataan Media Presiden PAS

Presiden PAS
Wed Oct 14, 09 11:02:44 am MYT

Keputusan Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang telah sama-sama kita ketahui, di mana Barisan Nasisonal (BN) telah mengekalkan kemenangan yang telah diperolehi oleh mereka menerusi Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu.

Serentak dengan itu, pelbagai pihak telah memberikan analisa, ulasan, komen dan cadangan masing-masing terhadap keputusan pilihanraya kecil tersebut.

Apa yang pasti ialah Parti Islam SeMalaysia (PAS) akan melakukan post-mortem bagi meneliti pelbagai aspek 'politik tempatan dan nasional' untuk menentukan punca sebenar kegagalan PAS memenangi kerusi DUN Bagan Pinang dari tangan BN.

Kepimpinan parti tentunya akan mengambil langkah strategik yang bersesuaian tanpa mengorbankan prinsip perjuangan parti dalam melaksanakan penambahbaikan.

Sementara itu saya meminta semua ahli di pelbagai peringkat dalam PAS supaya tidak menuding jari dan menyalahkan sesiapa sebelum punca sebenar ini dapat dikenalpasti.

Dalam suasana keriuhan kegagalan kita memenangi kerusi DUN Bagan Pinang ini, semua ahli PAS diminta bertenang dan tidak keliru dengan status-quo kemenangan BN yang dirayakan oleh mereka.

PAS menyedari bahawa semua pihak menaruh harapan yang tinggi untuk mengambil kerusi DUN Bagan Pinang dari milikan BN.

Hakikatnya ialah kita menyertai pilihanraya ini dengan penuh maklumat bahawa ianya merupakan satu tugas yang mencabar dan penuh dengan insiden provokasi oleh pihak lawan.

Walauapapun, PAS ingin menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pengundi yang masih memilih PAS, para petugas parti yang datang dari segenap pelusuk tanahair dan berkampung di DUN Bagan Pinang, orang perseorangan dari pelbagai rumpun bangsa yang datang memberikan tenaga dan sokongan serta semua pihak yang telah berusaha bersama-sama dengan jentera parti dalam berhadapan dengan pilihanraya kecil ini.


Presiden PAS


Tuan Guru Presiden sedang berada di Syria dan beliau menghubungi Dr Ahmad Samsuri selaku Setiausaha Politik Presiden PAS untuk kenyataan media ini _

sumber : harakahdaily.net